Pemuzik jalanan bukan menghibur tapi mendidik orang ramai hargai seni
Pemuzik jalanan bukan menghibur tapi mendidik orang ramai hargai seni
KLANG – Seorang pemuzik jalanan bukan hanya bermain alat muzik akordion secara solo untuk menghiburkan orang ramai yang lalu lalang di pusat membeli-belah tetapi turut mendidik pengunjung untuk lebih mencintai seni terutama seni muzik tradisional.
Pemain akordion itu yang dikenali sebagai Pak Habib Legend, berusia 53 tahun berasal dari Klang sudah berkecimpung dalam muzik selama 35 tahun bersama beberapa kumpulan sebelum ini, antaranya dengan Jabatan Kebudayaan Negeri Selangor, Muzium Negeri Selangor dan kini sebagai penolong pegawai tadbir di Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang lebih menjurus kepada kebudayaan.
Bapa kepada 5 orang anak itu, bergerak secara solo melalui Persatuan Pemuzik Jalanan yang mempunyai kira-kira 300 orang ahli.
“Saya bermain di sini (pusat membeli-belah) mengikut jadual dan slot yang diberikan kepada saya, oleh itu saya mempunyai masa kira-kira 3 hingga 5 jam bermain muzik di sini.
“Sebelum ini memang bergerak dengan kumpulan tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita kena ikut prosedur operasi standard (SOP), maka saya bergerak secara solo untuk akur dengan amalan sekarang,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat membeli belah, baru-baru ini.
Dia yang pernah menyertai festival muzik rakyat di Greece bersama kumpulan kebudayaan pada tahun 1992 amat kagum dengan negara yang menyertai pesta itu yang menampilkan pelbagai muzik tradisi masing-masing.
“Oleh itu, saya lebih memberi perhatian kepada muzik tradisi kita (Melayu) demi memartabatkannya ke pentas dunia yang juga memiliki nilai dan mutu yang tinggi.
“Persembahan muzik kita turut dikagumi dan dihargai oleh masyarakat luar melalui pemerhatian saya ketika melakukan persembahan,” katanya.
Beliau berharap generasi muda sewajarnya memberi lebih tumpuan kepada muzik tradisional seperti yang dilakukan oleh legenda Muzik Malaysia, arwah Pak Ngah (Suhaimi Mohd Zain) dan beberapa pengiat seni tanah air.
“Dalam pertandingan Muzik-Muzik, Anugerah Juara Lagi (AJL) ke-36, sudah mula ada unsur muzik tradisi diolah semula dengan menggarapkannya dengan elemen muzik moden.
“Usaha ini bagus kerana dapat mempercepatkan revolusi muzik tradisi dan boleh dieksport ke luar negara, namun jangan dilupakan muzik tradisi yang tulin dengan lagu-lagu asli yang diakui sukar untuk dinyanyikan,” katanya.
Beliau hanya giat mengadakan persembahan solo di hujung minggu dan lebih banyak bernain muzik genre tradisional dan sekali-sekala memainkan muzik moden yang sesuai dengan alat muzik akordion.-SAHIH