Enam penjenayah tumpas tidak sempat agih hasil curi
Enam penjenayah tumpas tidak sempat agih hasil curi
Foto atas: Datuk Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan wang tunai dan barangan lain yang berjaya dirampas.
CAMERON HIGHLANDS – Kumpulan enam orang penjenayah berputih mata, apabila wang curi sebanyak RM260,000 hasil kegiatan pecah cermin kenderaan di sini sempat ditumpaskan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, Khamis lalu.
Tertumpasnya kumpulan itu, sekali gus pihak polis polis berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah cermin kereta dan aktiviti curi di kawasan peranginan tersebut.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata, sejak 6 Januari hingga 7 januari lalu, IPD Cameron Highlands telah menerima 7 laporan berkaitan kegiatan pecah cermin kenderaan dan kehilangan barangan berharga di sekitar Cameron Highlands.
“Hasil siasatan dan risikan menghasilkan tangkapan seramai 6 orang yang datang ke sini (Cameron Highlands) bukan sahaja untuk bercuti membawa keluarga mereka tetapi untuk tujuan melakukan aktiviti jenayah.
“Mereka datang dari utara dan telah melakukan 7 pecah kereta tersebut dan dipercayai bersangkutan dengan kes sebelum ini termasuk di Sungai Petani,” katanya.
Katanya, kejayaan IPD Cameron Highlands menumpaskan aktiviti kumpulan itu dalam masa sehari dan bertindak selepas menerima maklumat.
“Kita berjaya menangkap 6 individu membabitkan 3 lelaki dan 3 wanita dalam satu serbuan di kawasan Brinchang, Cameron Highlands.
“Selain itu turut merampas dadah jenis Syabu sebanyak 34.74 gram, 4.2 gram daun mampat disyaki ganja, pelbagai jenis barang kemas, 3 keping gold bar, 10 buah telefon bimbit pelbagai jenama, bag sandang berisi wang tunai RM3, 843 serta dua buah kenderaan digunakan suspek kes berkenaan,” katanya.
Ramli berkata semua mereka akan disiasat di bawah seksyen 379 kanun keseksaan kerana mencuri, seksyen 427 kerana melakukan khianat dan seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta seksyen 6 ADB 1952 bagi kesalahan memiliki dadah.
“Saringan air kencing kepada semua suspek mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.
“Enam suspek itu kini ditahan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut manakala usaha mengesan dua lagi suspek yang sedang bebas giat dijalankan membabitkan individu dikenali sebagai sebagai Muhammad Zaidi Zainal dan seorang lagi dikenali dengan nama panggilan Faiz,” katanya.-SAHIH