KGMMB mahu KPM lantik segera warden asrama sepenuh masa
KGMMB mahu KPM lantik segera warden asrama sepenuh masa
ALOR SETAR – Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) merayu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik dengan segera warden asrama sepenuh masa bagi mengekang kes buli khususnya di kalangan pelajar yang tinggal di asrama sekolah.
Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, kes buli berlaku di kalangan pelajar yang tinggal di asrama yang boleh mengancam nyawa mangsa dan tidak mahu kes seperti penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berulang.
“Kes buli yang diketahui banyak berlaku, hanya mungkin tidak ditularkan dan sampai di pengetahuan umum, hanya beberapa kes yang ‘terlepas’ ke pengetahuan ramai.
“Maka untuk tidak berlaku semakin parah yang boleh melibatkan nyawa dan kecacatan kekal, wajar KPM melantik dengan segera warden sepenuh masa,” katanya ketika dihubungi Sahih.
Jasni berkata, perkara ini sudah kerap dibawa dalam mesyuarat bersama jabatan dengan kesatuan dan persatuan guru ke peringkat atasan sebelum ini, tetapi belum direalisasikan.
“Sebelum ini, kesatuan dan persatuan guru serta majlis guru besar dan pengetua termasuk unit berkaitan telah mencadangkan perlantikan warden sepenuh masa.
“KPM boleh melantik guru sepenuh masa sebagai warden atau mewujudkan perjawatan baharu warden asrama yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penghuni asrama sekolah,”katanya.
Katanya, KPM sudah mengamalkan perkara seperti ini seperti melantik Penolong Pengurusan Murid (PPM) untuk prasekolah dan kelas pendidikan khas termasuk konselor sekolah sepenuh masa dan pembantu makmal di sekolah menengah.
“Menaikkan elaun warden masih tidak menyelesaikan isu ini, pada masa ini seorang guru yang mengajar di kelas dengan masa yang sama banyak dengan guru lain dilantik oleh pihak sekolah sebagai warden asrama.
“Pastinya guru yang mengajar matapelajaran dan sebagai guru kelas, terpaksa pula bergegas untuk mengetahui keadaan di asrama, ini memberi tanggungjawab besar guru berkenaan dan harus bertugas 24 jam sehari,” katanya.
Katanya KGMMB mahu perjawatan warden sepenuh masa diadakan dengan segera menjelang sesi persekolahan baharu 2022 untuk memantapkan pentadbiran sekolah yang mempunyai asrama.
“Diharap Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KPM melihat perkara ini secara serius agar perkara buli tidak berlaku lagi.
“Sementara itu, dalam sebuah akhbar perdana menyatakan bekas komando dan askar perlu dilantik sebagai warden di sekolah berasrama, perkara itu perlu diteliti, kerana mendidik memerlukan kemahiran psikologi untuk mengimbangi akademik dan sahsiah dalam pendidikan,”katanya -SAHIH.