BEKAS PEGAWAI PECAH AMANAH
BEKAS PEGAWAI PECAH AMANAH
KUANTAN – Seorang bekas Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat di Kawasan Perindustrian Gebeng Kuantan, Pahang mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas 38 pertuduhan melakukan pecah amanah wang milik majikan berjumlah kira-kira 1.28 juta ringgit, empat tahun lalu.7)
Ng Siew Eng, 62 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Siew Eng didakwa melakukan semua kesalahan itu antara jam 8 pagi hingga 5 petang, dari bulan Julai hingga Oktober 2018 di Urban Environmental Industries Sdn Bhd, dengan menyalahgunakan kedudukan sebagai Ketua Pegawai Operasi syarikat dengan mengeluarkan cek bagi ahli keluarganya dengan nilai keseluruhan RM1,285,846.
Tertuduh didakwa mengeluarkan 38 keping cek bernilai diantara 3 ribu 730 hingga 110 ribu 36 ringgit atas nama diri sendiri, suami dan dua anak selain digunakan untuk membayar hutang kad kredit.
Pendakwaan mengikut Seksyen 408 kanun Keseksaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat, manakala tertuduh diwakili peguam, Shah Rizal Abdul Manan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin 36 ribu 600 ringgit dan dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran sementara menunggu tarikh perbicaraan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 6 Januari tahun depan.-SAHIH