30 EKOR GAJAH MUNCUL DEKAT KAMPUNG KUALA SAT
30 EKOR GAJAH MUNCUL DEKAT KAMPUNG KUALA SAT
JERANTUT : Gajah liar berkeliaran dan berulang alik antara hutan dengan pinggir kampung dan ladang sawit merupakan merupakan pandangan biasa bagi penduduk pedalaman Hulu Tembeling, Jerantut kerana haiwan itu mencari sumber makanan.
Dipercayai, haiwan itu bergerak keluar daripada habitat asalnya kerana mencari makanan di hutan simpan Hulu Tembeling berikutan telah diteroka untuk pembalakan dan pembangunan sektor perladangan.
Beberapa orang penduduk Kuala Sat dan pengunjung terserempak dengan kumpulan gajah liar yang terdiri daripada kira-kira 30 ekor termasuk lima ekor anak merayau-rayau mencari makanan pada kira-kira jam 6.00 petang semalam.
Penduduk Kampung Kuala Sat, Zulkifli Jamaluddin, 57, berkata, dia bersama dua orang rakannya dalam perjalanan ke Kampung Bantal ternampak haiwan itu berkeliaran di pinggir hutan berdekatan Jambatan Relop, di jalan raya Kampung Kuala Sat.
“Saya dalam perjalanan ke Kampung Bantal, tiba-tiba ternampak kawanan haiwan liar ini tidak jauh daripada Jambatan Relop sedang merayau-rayau mencari makanan di pinggir hutan di sini.
“Kumpulan gajah ini menarik perhatian kami kerana haiwan ini langsung tidak mempedulikan manusia dan bunyi kenderaan di sini malahan terus mencari makanan seperti daun pokok kecil dan mematahkan tumbuhan yang boleh dimakan,” katanya di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling hari ini.
Zulkifli berkata, dia sempat merakamkan gambar sambil mengira bilangan gajah liar itu sebanyak 30 ekor termasuk lima ekor anak yang turut mencari makanan.
Katanya, dia kerap terserempak dengan haiwan liar itu melintas jalan di kawasan Bukit Awan berdekatan Kampung Pagi hingga Kampung Kuala Sat pada sebelah petang dan malam kerana kawasan itu masih ada sumber makanan termasuk ladang sawit dan tanaman pertanian penduduk berkenaan.
Seorang pengunjung, Faizul Ishak, 35, berkata, pemandang itu merupakan pengalaman pertama baginya melihat kumpulan gajah liar berkeliaran mencari makanan berdekatan kampung.
“Sebelum ini, saya hanya cuma melihat haiwan ini di zoo, tetapi hari ini saya dan rakan terserempak kawanan gajah liar dalam jumlah yang besar dan sempat merakamkan gambar.
“Suasana ini boleh menjadi tarikan bagi pengunjung ke kampung pedalaman Hulu Tembeling seolah-olah seperti menjelajah di safari negara Afrika,” katanya.-SAHIH.