DUN SARAWAK MUNGKIN BUBAR BEBERAPA HARI LAGI
DUN SARAWAK MUNGKIN BUBAR BEBERAPA HARI LAGI
SRI AMAN: Desas-desus bertiup kencang mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak dengan beberapa portal berita melaporkan Ketua Menteri, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.
Seorang pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberi bayangan DUN Sarawak akan dibubarkan dalam beberapa hari lagi, biarpun Ketua Menteri Abang Johari Openg menjelaskan tiada pembubaran buat masa ini.
Kenyataan Naib Presiden PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah, hadir beberapa jam selepas Abang Johari merangkap Presiden PBB menafikan perkara itu dalam satu majlis di Simanggang, Sri Aman, pagi tadi.
“Pembubaran itu perlu dilakukan bagi PRN12 Sarawak diadakan, selepas DUN yang sepatutnya dibubarkan 7 Jun lalu ditunda susulan lanjutan proklamasi darurat di negeri itu hingga 2 Feb 2022.
“Mungkin dalam sehari dua ini kita akan mendengar berita berkenaan pembubaran DUN dan sebagainya, saya tidak menolak kemungkinan DUN Sarawak akan dibubarkan dalam beberapa hari lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Pejabat Ketua Menteri menafikan perkara itu menerusi satu kenyataan hari ini dan menyatakan tidak ada pengumuman seumpama itu yang dijadualkan buat masa sekarang atau esok.