2,000 GURU MASIH ENGGAN TERIMA VAKSIN
2,000 MASIH ENGGAN TERIMA VAKSIN
MELAKA: Kira-kira 2,000 guru di seluruh negara masih enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19, menurun berbanding 2,500 yang direkodkan setakat 5 Oktober lalu, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Beliau menegaskan, guru yang tiada vaksinasi tetap tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka di sekolah yang dibuka semula untuk kemasukan fizikal.
Katanya, langkah itu penting kerana ia boleh memberi kesan besar terhadap ekosistem serta operasi sekolah, walaupun bilangan terbabit tidak ramai berbanding jumlah keseluruhan lebih 415,000 guru sedia ada.
“Sebagai contoh untuk murid berkeperluan khas (MBK), anak-anak istimewa ini perlu berada rapat dengan guru.
“Begitu juga kita ada keadaan di mana guru prasekolah dan pembantu murid prasekolah yang tidak mahu divaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan persiapan pembukaan semula sekolah di Melaka, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek, hari ini.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan kenyataan bahawa semua penjawat awam dikehendaki mengambil vaksin COVID-19 sebelum 1 November depan.
“Sehubungan itu, guru berkenaan perlu mengambil berat kenyataan JPA terbabit. Apapun, kami tidak akan berkompromi mengenai perkara itu.
“Jika perlu membawa keluar atau memindahkan guru terbabit, ia akan dilakukan. Kita bukan mengugut, namun tindakan itu perlu dilakukan kerana ia penting untuk operasi sekolah,” katanya.
Sementara itu berhubung perkembangan lain, Radzi memaklumkan jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan dalam masa terdekat, ia tidak akan menjejaskan sesi persekolahan yang sedang berlangsung.
Katanya, Kementerian Pendidikan akan berbincang serta meneliti aspek berkaitan, termasuk dari segi kemudahan terbabit, berdasarkan pengumuman rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.
Mengenai hasil lawatannya pula, beliau berpuas hati dengan aspek prosedur operasi standard (SOP) di semua sekolah terbabit, termasuk persediaan rapi yang dilakukan.
Katanya, aspek pengudaraan yang baik dan optimum menjadi penilaian terbaru kementerian, di samping SOP lain seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka. – BH