JANGAN SERKAP JARANG ISU PASIR MELAKA, KATA AHMAD MASLAN
JANGAN SERKAP JARANG ISU PASIR MELAKA, KATA AHMAD MASLAN
ISU PASIR ITU TIDAK BOLEH DILIHAT SEBAGAI SATU PERSEPSI ATAU ‘SERKAP JARANG’ KERANA SEDANG DIPERHALUSI PIHAK BERKUASA.
PETALING JAYA: Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan meminta orang ramai tidak serkap jarang dalam isu pasir yang hangat diperkatakan membabitkan beberapa pemimpin politik di Melaka.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang membuat siasatan terperinci mengenai isu itu, dan tuduhan tidak seharusnya dilemparkan selagi perkara tersebut belum disahkan kebenarannya.
Katanya, ia tidak boleh dilihat sebagai satu persepsi atau serkap jarang kerana sedang diperhalusi pihak berkuasa.
“Kadang-kadang orang nak buat tuduhan pasal isu pasir serta buat pelbagai persepsi, tetapi persepsi itu ada cerita-cerita disebaliknya yang tidak semestinya negatif.
“Kita ada peraturan dan undang-undang serta prosedur yang perlu dilalui sebelum apa-apa juga tuduhan itu disahihkan kepada individu terlibat.
“Sudah tentu ia akan mengambil masa yang agak panjang, jadi biarlah pihak-pihak berkaitan itu mencari maklumat dan menjalankan siasatan dengan terperinci,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Telok Mas di Melaka.
Sebelum ini, media melaporkan bekas Ketua Menteri, Idris Haron mendakwa, terdapat pemimpin Umno Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan persekutuan berkaitan royalti pasir.
Disebabkan perkara itu, beliau terpaksa menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka bagi menyelamatkan Umno daripada ditolak rakyat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dalam pada itu, Ahmad ketika mengulas lanjut memberi contoh laporan “Pandora Papers”, dikaitkan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang kononnya memiliki akaun simpanan di British Virgin Island (BVI) yang turut menimbulkan persepsi.
Katanya, Zahid telah menjelaskan sebanyak dua kali di Dewan Rakyat bahawa, ketika akaun berkenaan dibuka pada 1993, beliau belum menjadi Ahli Parlimen Bagan Datuk atau memegang sebarang jawatan penting dalam parti.
Sebaliknya, Ahmad menjelaskan, Zahid ketika itu berkhidmat dalam sektor korporat dan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat yang tersenarai dan telah menutup akaun tersebut pada 1994.
“Kadang-kadang persepsi dan realiti itu sangat berbeza seperti apa yang terjadi terhadap saya yang digelar sebagai kluster mahkamah.
“Sedangkan kes saya belum dibuktikan sebagai duit haram selepas menerima dana politik daripada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013,” katanya.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 29 Sept lalu daripada dua pertuduhan selepas membayar kompaun bernilai RM1.1 juta.