Warga asing ditahan edar dadah, cuba langgar anggota polis
Warga asing ditahan edar dadah, cuba langgar anggota polis
KOTA KINABALU – Polis bandar raya ini menahan seorang lelaki warga asing ekoran tindakannya mahu merempuh anggota polis ketika cuba meloloskan diri dari ditahan dalam kejadian di Manggatal hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, anggota bertugas juga terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta Perodua Myvi yang dipandu suspek berusia 20-an berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu.
“Operasi ‘Op Tapis’ ini dijalankan berikutan mengesyaki terdapat kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan terbabit.
“Suspek dikatakan enggan memberi kerjasama untuk periksaan selain bertindak agresif dengan merempuh kenderaan pasukan polis beberapa kali, lelaki terbabit juga cuba melanggar anggota polis dengan merempuh dari bahagian hadapan kenderaan namun sempat dielak pasukan operasi.
“Ekoran situasi itu, anggota polis bertugas terpaksa melepaskan dua das tembakan ke tayar hadapan kiri dan kanan kenderaan dinaiki suspek untuk mempertahankan diri,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini,
Mengulas lanjut, George memaklumkan suspek yang awalnya berjaya melarikan diri dengan menaiki kenderaan dipandunya berjaya diberkas disebabkan kereta suspek hanya mampu bergerak sejauh 120 meter daripada tempat kejadian sebelum ditahan polis.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui dua paket plastik lutsinar yang setiap satu berisi ketulan hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar keseluruhan rampasan dadah berkenaan adalah sebanyak 100 gram.
“Suspek terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.