KOPERASI MANTAPKAN BARISAN KEPIMPINAN UNTUK BERADA DI LANDASAN YANG BETUL
KOPERASI MANTAPKAN BARISAN KEPIMPINAN UNTUK BERADA DI LANDASAN YANG BETUL
ALOR SETAR: Koperasi perlu mempunyai daya penggerak yang kuat dan mempunyai pengaruh yang tinggi bagi memastikan sistem pentadbiran koperasi sentiasa berada di landasan yang betul untuk masa depan koperasi yang lebih terjamin serta dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, usaha meningkatkan kefahaman dan menyatupadukan anggota juga merupakan antara agenda yang perlu diberi perhatian serius oleh barisan kepemimpinan dalam menggerakkan koperasi.
Katanya, kerajaan mahu melihat gerakan koperasi terus berperanan sebagai sektor ketiga penyumbang ekonomi negara dan pada masa yang sama, mahu memastikan peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) dapat dipertingkatkan mengikut perkembangan semasa.
“Selain itu, proses membangunkan ummah menerusi koperasi juga antara yang akan diberi penekanan oleh kerajaan dengan cara meningkatkan kualiti tadbir urus koperasi seperti koperasi kariah masjid dan koperasi belia.
“Keyakinan yang tinggi bahawa koperasi akan mampu menjadi penggerak yang lebih unggul serta menjadi pemangkin ekonomi kepada anggota dan masyarakat khususnya generasi muda dan kepimpinan koperasi di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Program Penyerahan Bantuan dan Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi Negeri Kedah 2021 di Alor Setar semalam.
Turut hadiri, Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah Timbalan Menteri MEDAC, Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Datuk Ahmad; Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Haron; Ketua Pengarah IKM, Datuk Mohd Ali Mansor dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar
Antara objektif Program Penyerahan Bantuan dan Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi adalah untuk membantu menangani peningkatan kos sara hidup rakyat termasuk anggota koperasi yang kebanyakannya terdiri daripada golongan B40 dan M40.
Selain itu, program yang berlangsung di Menara Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad di Alor Setar, turut bertujuan untuk membantu merancakkan semula ekonomi koperasi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 khususnya koperasi di negeri Kedah.-SAHIH.