50.5 PERATUS REMAJA 12-17 TAHUN DI SABAH DIVAKSIN
50.5 PERATUS REMAJA 12-17 TAHUN DI SABAH DIVAKSIN
PETALING JAYA: Lebih separuh atau 50.5 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sabah menerima dos pertama vaksin Covid-19 sehingga semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Masidi Manjun berkata, seramai 20,148 remaja divaksin semalam, menjadikan keseluruhan 215,249 remaja menerima dos pertama setakat ini.
“Ini angka memberangsangkan sejak Sabah memberi kebenaran suntikan vaksin bermula 16 September lepas,” katanya dalam kenyataan yang dilaporkan Bernama.
Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, lebih 1.68 juta atau 61.2 peratus penduduk di Sabah lengkap divaksin sehingga semalam.
Dalam perkembangan lain, katanya, Sabah merekodkan 1,078 kes baharu hari ini, menjadikan keseluruhan 194,264 kes setakat ini.
“Bilangan pesakit sembuh ialah 2,394 orang, menjadikan jumlah kumulatif 173,450 orang, manakala 3,493 orang masih menerima rawatan.” katanya.