PELAJAR TINGKATAN 1,2 DAN 3 AKAN MULA TERIMA VAKSIN DI JERANTUT
PELAJAR TINGKATAN 1,2 DAN 3 AKAN MULA TERIMA VAKSIN DI JERANTUT
JERANTUT: Remaja di daerah Jerantut yang lahir pada tahun 2006, 2007 dan 2008 akan mula menerima suntikan vaksin dos pertama bermula pada 27 September sehingga 3 Oktober ini.
Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Jerantut, Dr Amir Faisal Dato Mohd Khairi berkata, manakala dos kedua akan diberi pada 18 Oktober hingga 24 Oktober.
Katanya, guru sekolah masing-masing akan menghubungi pelajar untuk mengikut jadual tarikh dan masa vaksinasi diberi untuk mengelak berlaku kesesakan di sekolah.
Katanya, di daerah ini pemberian vaksin dibahagikan mengikut kategori, kategori A bagi pelajar dari sekolah-sekolah di dalam daerah Jerantut dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka di 20 buah sekolah masing-masing mengikut tarikh dan ketetapan jadual.
Manakala kategori B, pelajar yang tinggal di Jerantut dan bersekolah di luar daerah Jerantut atau luar negeri Pahang.
“Sementara itu, individu berusia 13 hingga 15 tahun yang tidak bersekolah; individu berumur 13 hingga 15 tahun yang bukan warganegara dan pelajar berumur 16 dan 17 tahun yang masih belum divaksin akan turut diberi vaksinasi.
“Selain itu, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut akan dibuka secara “walk-in” pada hari Isnin, 27 September dan Khamis, 30 September bermula 9.00 pagi. PPV ADTEC dan akan menggunakan sistem nombor giliran untuk mengelakkan kesesakan,” katanya.
Katanya, mohon semua yang belum divaksin hadir awal ke ADTEC Jerantut dengan mengisi dua borang, Borang Persetujuan Suntikan Covid-19 untuk yang berusia di bawah 18 tahun dan perlu mengisi 2 salinan borang ini dan dibawa ke PPV.
“Pelajar juga perlu hadir bersama salah seorang ibu, bapa atau penjaga serta surat Perwakilan Ibu Bapa atau Penjaga kepada individu yang membawa kanak-kanak menerima vaksin Covid-19.
“Jika ibu, bapa atau penjaga yang tidak dapat hadir, perlu mengisi borang perwakilan ini dan wakilkan kepada seseorang seperti bapa saudara atau jiran yang berumur lebih 18 tahun,” katanya.
Amir berkata, setakat ini seramai 58,767 penduduk dewasa berumur 18 tahun dan ke atas telah menerima minima dos pertama vaksin Covid-19 dan meliputi 82.42 peratus dari jumlah penduduk dewasa yang layak divaksin di daerah ini.
“Seramai 2,926 remaja berumur 16 hingga 17 telah menerima suntikan vaksin yang berakhir hari ini, sasaran awal penerima vaksin kumpulan ini seramai 2,850 telah disuntik dan mencapai 102.7 peratus termasuk bilangan pelajar yang bersekolah di luar Jerantut dan luar negeri Pahang yang menetap di Jerantut,” katanya.-SAHIH.