Operasi premis perniagaan hingga 12 tengah malam
Operasi premis perniagaan hingga 12 tengah malam
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet hari ini bersetuju dengan cadangan supaya stesen minyak, kedai makan dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi secara seragam di semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 6 pagi hingga 12 tengah malam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kebenaran itu bagaimanapun dikecualikan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“(Persetujuan) ini akan diangkat ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik esok untuk disyorkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum diputuskan tarikh berkuatkuasanya,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, pelaksanaan projek perintis gelembung perjalanan ke Pulau Langkawi setakat ini berjalan lancar.
“Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, ia berupaya menjadi pembuka jalan ke arah pelaksanaan inisiatif gelembung perjalanan di destinasi-destinasi yang lain.
“Menteri-Menteri Kuartet sudah menetapkan tempoh dua minggu untuk menilai perkembangan terkini di Langkawi sebelum mengangkat cadangan destinasi-destinasi lain ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya.
Katanya, memandangkan gelembung perjalanan ke destinasi lain mungkin membabitkan aktiviti rentas negeri, pihaknya akan terus memperhalusi kesesuaian SOP yang boleh dilaksana bagi memastikan penularan wabak tidak berlaku.
Sementara itu, beliau berkata kebenaran pembukaan aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan tertutup (indoor) sebelum ini dibuat selepas mengambil kira tonggak ketiga iaitu kesejahteraan rakyat terutama dari sudut kesihatan mental serta memahami kehendak pengusaha gimnasium sendiri.
“Namun Kementerian Kesihatan (KKM) menekankan bahawa pengusaha dan pengguna mesti bertanggungjawab serta berdisiplin dalam mematuhi garis panduan ventilasi yang telah ditetapkan. Ini amat penting memandangkan gimnasium adalah kawasan tertutup, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 sekiranya ada pihak terleka tentang pematuhan SOP dan garis panduan,” katanya.
Menyentuh potensi pembukaan stadium kepada orang awam bagi menonton perlawanan bola sepak serta sukan lain, Hishammuddin berkata ini masih di peringkat perbincangan yang mana cadangan dikemukakan Ahmad Faizal akan diangkat untuk diteliti di peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik dipengerusikan Perdana Menteri, lapor BH ONLINE
“Menuju ke fasa endemik, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat. Saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Ia harus dititikberatkan kerana sebaik saja kerajaan mengumumkan bermulanya fasa endemik, bermakna kita semua perlu hidup bersama virus COVID-19,” katanya.