Pematuhan SOP di lokasi tumpuan orang ramai di Kuantan capai 95 peratus
Pematuhan SOP di lokasi tumpuan orang ramai di Kuantan capai 95 peratus
KUANTAN: Pasukan pemantau dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) orang ramai yang mengunjungi pusat peranginan di sekitar daerah ini.
Pemeriksaan dijalankan sejak pagi tadi mendapati semua pengunjung sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan melepasi tempoh 14 hari dari tarikh suntikan dos kedua, sebelum mengunjungi pusat rekreasi bersama keluarga mereka untuk berkelah dan aktiviti riadah lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, sejak Pahang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 5 Julai lalu, tahap pematuhan SOP dalam kalangan penduduk di daerah ini berada di tahap sangat memuaskan.
“Walaupun kita (Pahang) masih berada di Fasa Dua PPN, namun pengumuman kerajaan membuka lebih banyak aktiviti sosial kepada orang ramai perlu dipantau dengan lebih berhati-hati kerana kita belum lagi bebas (sepenuhnya) daripada COVID-19.
“Tapi setakat ini, pasukan pemantau dari IPD Kuantan dengan kerjasama Ketua Polis Balai dan pasukan kereta peronda (MPV) mendapati 95 peratus pengunjung di semua lokasi tumpuan di daerah ini, memenuhi (mematuhi) setiap SOP ditetapkan,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan bersama pasukan pemantau SOP di kawasan rekreasi Sungai Lembing, dekat sini.
Muhammed Rizal turut menjelaskan bahawa pendekatan budi bicara lebih banyak digunakan pasukan pemantau bagi mendidik mereka yang masih belum memahami SOP perlu dipatuhi pada Fasa Dua PPN.
Katanya, pendekatan mendidik ini dilihat lebih berkesan kerana orang ramai mendapat maklumat lebih terperinci mengenai larangan yang masih perlu dipatuhi walaupun pembukaan lebih banyak sektor sudah dibenarkan oleh kerajaan.
“Kita ada rekod setiap kesalahan dilakukan individu tertentu yang melanggar SOP dan kalau ia membabitkan kesalahan berulang, maka tindakan tegas (kompaun) terpaksa diambil.
“Tapi kita lebih suka gunakan pendekatan mendidik orang ramai, guna budi bicara kerana mungkin masih ramai yang belum faham apa itu PPN Fasa Dua dan perkara yang dibolehkan atau tidak dibenarkan, jadi kita lihat pendekatan (mendidik) ini lebih berkesan,” katanya.- SAHIH