Saya akan jalankan tugas sukarela tanpa imbuhan – Muhyiddin
Saya akan jalankan tugas sukarela tanpa imbuhan – Muhyiddin
PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berbesar hati menerima pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kepercayaan diberikan kerajaan itu adalah satu amanah untuk meneruskan segala usaha dan perancangan yang dimulakan sebelum ini bagi memulihkan negara daripada kesan wabak Covid-19.
Katanya, beliau dan anggota Majlis Pemulihan Negara akan berperanan membantu Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara.
“Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri atas pelantikan saya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.
“Saya juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenan pelantikan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, pasukannya akan terus menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan Covid-19 yang akan memasuki fasa endemik.
Beliau pada masa sama memberi jaminan akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia,lapor utusan online
“Ini bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan,” katanya