LELAKI ‘BERAHI PAKAIAN DALAM WANITA’ DITAHAN DI BENTONG
LELAKI ‘BERAHI PAKAIAN DALAM WANITA’ DITAHAN DI BENTONG
BENTONG : Seorang lelaki warga asing berusia 36 tahun yang dipercayai ‘berahi pakaian dalam wanita’ ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Kemansur pada jam 11.30 malam, semalam.
Susulan menerima aduan bapa anak mangsa, polis berjaya mengesan dan menahan suspek warga asing itu menerusi pemerhatian daripada bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran mangsa.
Ketua Polis Bentong, Suprintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, suspek berkenaan ditahan oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Daerah berikutan menerima laporan daripada seorang penduduk pada jam 3 petang, hari Rabu mengenai kehilangan pakaian dalam milik anak perempuannya.
“Laporan dibuat setelah seorang jiran penduduk berkenaan ternampak seorang lelaki yang tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan merayau-rayau di kawasan rumahnya.
“Susulan itu, anak perempuan penduduk berkenaan telah memberitahu (mengadu) beberapa helai pakaian dalam yang dijemur di ampaian belakang rumah telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Katanya, hasil serbuan itu, polis telah menjumpai sejumlah besar pakaian dalam wanita di rumah sewa suspek yang terkumpul dan disimpan di beberapa bahagian dalam bilik di rumah itu, pasport milik suspek turut ditemui yang telah tamat tempoh sejak 2015.
“Kemungkinan suspek ini merupakan seorang yang gila seks (sex maniac) berasaskan banyak pakaian dalam wanita dicuri dan sejak ditahan semalam dia tidak mahu bercakap untuk memberitahu maklumat mengenai kegiatan jenayah yang dilakukannya.
“Suspek ini telah ditahan reman selama 14 hari di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan 15 (1) (c), Akta Imigresen 1959/63. Sekiranya sabit kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama lima tahun atau denda tidak kurang daripada RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Zaiham menambah siasatan lanjut akan terus dijalankan untuk mengetahui sama ada suspek itu turut melakukan jenayah yang sama di kawasan lain daerah ini dan sehingga ini cuma satu laporan polis sahaja diterima.
“Saya berharap penduduk daerah ini terus berwaspada dan segera menghubungi Ibupejabat Polis di sini dan balai polis berdekatan sekiranya ternampak seseorang yang mencurigakan merayau di kawasan kediaman termasuk segera menyampaikan maklumat sebarang bentuk perlakuan jenayah,” katanya.-SAHIH.