SOROK DALAM BONET UNTUK RENTAS NEGERI
SOROK DALAM BONET UNTUK RENTAS NEGERI
TELUK INTAN – Cubaan tiga lelaki Indonesia menyorok dalam bonet sebuah kereta untuk merentas negeri gagal semasa pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) Kilometer 30, Jalan Feri dekat Hutan Melintang hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, warga asing berusia 18, 32 dan 36 tahun ditahan bersama pemandu kereta sewa iaitu lelaki tempatan berusia 36 tahun.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kereta jenis Perodua Bezza itu dalam perjalanan menghala Hutan Melintang.
Katanya, pemeriksaan kemudian menjumpai tiga lelaki warga asing berbaring dalam keadaan berhimpit pada bahagian bonet.
“Kesemua lelaki warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
“Mereka dalam perjalanan dari Sabak Bernam melalui Hutan Melintang ke Batu Gajah untuk mencari kerja sebagai tukang kebun,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai pemandu untuk menghantar warga asing tersebut ke Batu Gajah dengan bayaran RM300 seorang, lapor KOSMO online.
Katanya, keempat-empat lelaki itu juga tidak mempunyai sebarang dokumen surat rentas negeri.