BERDEBAT PASAL VAKSIN TAK KENA TEMPAT
BERDEBAT PASAL VAKSIN TAK KENA TEMPAT
PETALING JAYA : Mungkin terlalu bijak dan terlampau celik undang-undang, seorang lelaki dengan biadap mempersoalkan tindakan anggota polis mengeluarkan kompaun ke atasnya kerana tidak memakai pelitup muka ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak.
Menerusi satu klip video yang tular di laman sosial ketika ini, lelaki tersebut dilihat seolah-olah cuba berdebat dalam usaha ‘membenarkan’ perbuatannya itu kepada polis ketika diminta untuk menyerahkan kad pengenalan kerana berdegil untuk tidak memakai pelitup muka.
Lelaki tersebut turut berkata di Denmark kajian telah menunjukkan pemakaian pelitup muka hanya menyusahkan dan membahayakan penggunanya.
Kata lelaki itu lagi, dia juga tidak akan menerima vaksin kerana ada satu lagi kajian di Amerika Syarikat yang menyatakan vaksin Covid-19 adalah berbahaya dan tidak selamat.
“Saya tidak tahu di Denmark sebab saya tak pernah sampai ke sana, kalau nak ikut undang-undang sana pergi duduk di sana,” jelas salah seorang anggota polis tersebut.
Rata-rata orang ramai juga tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh lelaki tersebut dan menganggap perbuatan itu hanya untuk melakukan provokasi terhadap tugas pihak berkuasa semata-mata, lapor KOSMO online.
“Ada lagi rupanya jenis manusia seperti ini. Cukup la kesian dekat polis yang menjalankan tugasan mereka, dah kamu yang salah mengaku saja. Kalau cakap baik-baik mungkin polis nasihat sahaja,” kata Wan Aziz Ibrahim.