AMBIL PELUANG LANGSAI HUTANG PENEROKA
AMBIL PELUANG LANGSAI HUTANG PENEROKA
JERANTUT: Semua warga peneroka FELDA Wilayah Jengka perlu mengambil peluang ditawarkan kerajaan untuk mengurangkan bebanan hutang mereka.
Exco Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Rancangan (JKKR) Wilayah Jengka, Razak Daud berkata , tawaran dicadangkan kerajaan itu adalah sangat munasabah dan selaras dengan perjuangan warga peneroka selama ini.
“Mereka (kerajaan) pun sudah beri tambahan masa untuk peneroka pertimbangkan tawaran itu, jadi gunalah masa yang ada untuk meneliti kandungan perjanjian disediakan.
EXCO JKKR Wilayah Jengka,
Razak Daud
“Jika sebelum ini, kita diberikan masa 14 hari untuk menandatangani perjanjian itu, namun selepas diminta untuk tempoh itu dipanjangkan, maka mereka setuju untuk lanjutkan kepada sebulan.
“Saya fikir tawaran diberikan adalah sangat bagus dan saya harap semua warga peneroka tidak melepaskan peluang untuk menandatangani perjanjian itu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Razak memaklumkan setakat ini seramai 5,055 peneroka FELDA Wilayah Jengka sudah mencapai persetujuan untuk menerima tawaran disediakan kerajaan.
Katanya, baki peneroka yang belum menandatangani dokumen perjanjian itu dijangka dapat diselesaikan selepas sambutan Aidiladha.
“Berdasarkan rekod kita, terdapat 14,957 peneroka di Wilayah Jengka dan setakat ini 33.8 peratus sudah selesai (menandatangani) perjanjian.
“Saya harap semuanya selesai selepas cuti sambutan Aidiladha dan ini adalah peluang untuk kita semua menikmati pelarasan hutang sehingga 80 peratus, seperti diumumkan kerajaan sebelum ini,” katanya.-SAHIH