CAC STADIUM MALAWATI SESAK, LEBIH 4,000 INDIVIDU POSITIF LAPOR DIRI
CAC STADIUM MALAWATI SESAK, LEBIH 4,000 INDIVIDU POSITIF LAPOR DIRI
KUALA LUMPUR – Sedih dan dalam masa sama timbul rasa bimbang.
Itu perasaan apabila melihat ramai individu yang positif Covid-19 berpusu-pusu hingga terpaksa beratur panjang lebih 500 meter untuk melaporkan diri ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati di sini hari ini.
Lebih menyayat hati apabila kanak-kanak dan bayi antara individu yang disyaki positif turut sama beratur dan terpaksa berpanas sejak pukul 11 pagi tadi.
Hanya sebuah khemah berwarna putih sahaja kelihatan di tempat orang ramai beratur dan itu pun bagi menempatkan individu yang mengalami sesak nafas dan mereka yang mempunyai simptom pandemik yang serius.
Kebanyakan pengunjung yang hadir bersiap sedia dengan beg pakaian masing-masing di samping kelengkapan lain termasuk bantal dan baldi, seolah-olah mereka tahu akan ditempatkan di pusat kuarantin selepas ini, lapor MG
Menurut petugas perubatan di situ, kapasiti harian CAC Stadium Malawati boleh menerima antara 1,200 hingga 1,500 pengunjung dan kehadiran lebih 4,000 orang itu di luar keupayaan mereka.