2 LELAKI MAUT KERETA TERHUMBAN DALAM PARIT
2 LELAKI MAUT KERETA TERHUMBAN DALAM PARIT
Sepang: Dua lelaki maut akibat terperangkap di dalam kereta Proton Perdana yang terhumban ke dalam parit berhampiran Tanjung Rhu, Sungai Pelek, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 10 pagi itu, pemandu, Sathish Kumar Maya Murugan, 29, dan penumpang, Pubalan Sooriakumaran, 28, yang masing-masing berasal dari Sungai Pelek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan mendapati kenderaan dipandu mangsa dari arah Sungai Pelek menuju ke Banting hilang kawalan apabila melalui satu selekoh.
“Kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam parit di tepi sebelah kanan jalan.
“Waris mangsa juga sudah dikenal pasti dan kenderaan mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk siasatan,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Katanya, mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Sepang sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, lapor HM online.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.