PUAK ANTIVAKSIN SEBAR DAKYAH
PUAK ANTIVAKSIN SEBAR DAKYAH
KUALA LUMPUR: Puak penyokong teori konsipirasi termasuk kumpulan bumi mendatar, anti sains serta kumpulan kajian akhir zaman dikesan mula bergabung dengan kumpulan antivaksin untuk melempar pelbagai dakyah bagi memujuk rakyat Malaysia menolak vaksin COVID-19.
Hari ini kumpulan-kumpulan ini bergabung untuk memastikan setiap teori atau andaian mereka diterima masyarakat Malaysia dan lebih membimbangkan ada yang sudah terpengaruh apabila mula menjadikan ‘kajian dan teori ‘ itu sebagai panduan dalam kesihatan awam seharian.
Presiden Medical Mythbusters Malaysia (M3), Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris, berkata ramai rakyat Malaysia hari ini bukan sahaja tidak mahu disuntik vaksin tetapi pesakit COVID-19 sendiri sudah mula menolak rawatan yang diberikan di hospital.
“Kumpulan antivaksin hari ini sudah mula bergabung dengan golongan-golongan lain pada musim pandemik ini, seolah-olah seperti menyusun strategi bagaimana untuk mempengaruhi rakyat Malaysia menolak perancangan kerajaan dalam memerangi COVID-19.
“Seperti biasa mereka mengeluarkan dakyah dan teori di media sosial dan ia dilakukan dengan kerap sehingga ada yang terpengaruh kerana membaca atau diberitahu dengan berulang kali.
“Saya difahamkan di lapangan (hospital) sendiri, ada pesakit yang sudah mula menolak rawatan pernafasan kerana bimbang mereka akan dimatikan oleh doktor. Ini adalah kesan kisah yang digembar-gemburkan oleh kumpulan ini kepada masyarakat,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin di negara ini jika golongan itu didapati menghasut orang ramai daripada menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Beliau berkata, kerajaan juga sudah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) mengkaji pelaksanaan program imunisasi secara wajib jika jumlah pendaftaran gagal mencapai sasaran imuniti kelompok.
Mengulas lanjut, Dr Ahmad Firdausberkata, modus operandi kumpulan itu juga dikesan semakin berani, kebelakangan ini sehingga sanggup menggunakan berita kematian orang lain sebagai testomoni dalam dakyah mereka.
“Sebagai contoh, mereka menggunakan kematian seorang bapa kepada doktor untuk mendakwa kematian akan berlaku sekiranya pesakit COVID-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) malah kematian seorang tokoh agamawan terkenal baru-baru ini juga dijadikan pelengkap kisah khayalan mereka.
“Kita bersyukur ramai rakyat Malaysia mempunyai kesedaran mengenai vaksin serta pandemik ini tetapi apabila wujudnya berita atau cakap-cakap yang tidak sahih sebegini, pastinya sedikit sebanyak ia memainkan peranan dalam kesihatan awam,” katanya.
Dr Ahmad Firdaus berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil tindakan tegas dan drastik kepada kumpulan antivaksin disebabkan implikasi kesihatan awam yang berlaku hari ini.
“Setiap kali isu antivaksin muncul dalam kehidupan masyarakat, tindakan susulan pihak berkuasa boleh disifatkan sekadar cakap-cakap sahaja tetapi tindakan tegas tidak juga diambil.
“Sudah sampai masanya untuk tindakan yang lebih signifikan dilaksanakan kerajaan kerana sebelum ini kita hanya mendengar janji dan kata-kata tegas sahaja tetapi golongan antivaksin ini masih lagi rancak mengeluarkan pelbagai teori dan dakyah,” katanya.