SEKOLAH AGAMA ULU CHEKA TERBAKAR
Satu blok Sekolah Menengah Agama Majlis Darul Ehyail Maarip (SMAMDEM), Ulu Cheka, Jerantut yang membabitkan asrama, dewan dan dua buah kelas terbakar kira-kira jam 9.15 pagi, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Tuan Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal, berkata setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 9.21 pagi, pihak terus ke lokasi kejadian dan mendapati api sedang marak.
“Blok yang terbakar itu terdapat asrama, dewan dan kelas dan pihak bomba dalam proses pemadaman menggunakan dua aliran salur bagi memadamkan api.
“Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Damak turut memberi bantuan dan api dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 10.00 pagi dan tidak melibatkan kemalangan jiwa 61 pelajar dan 15 tenaga pengajar berlaku, punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Seorang kakitangan sekolah yang enggan nama disiarkan berkata, pada ketika itu beberapa orang murid berada di kelas berdekatan berteriak menyatakan kebakaran bermula dari asrama.
“Saya menjerit mengarahkan semua murid tingkatan tiga dan lima yang berada di blok sama keluar menyelamatkan diri termasuk pelajar di kelas blok bersebelahan ke tempat selamat.
“Di asrama itu hanya dihuni 14 orang pelajar lelaki dan terdapat sebuah dewan serbaguna yang kosong sebelum penempatan dua buah kelas yang terbakar,” katanya.