BAYI MAUT TERSEPIT BESI KATIL
BAYI MAUT TERSEPIT BESI KATIL
PETALING JAYA: Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut disyaki akibat tersepit pada besi katil di sebuah asrama kebajikan di Jitra, Kedah semalam.
Dalam kejadian antara jam 7 hingga 8 malam itu, bayi berkenaan ditinggalkan atas katil dalam keadaan baring dengan bantal di kiri dan kanan, sementara dua petugas berbuka puasa.
Bagaimanapun, selepas menunaikan solat maghrib, seorang daripada petugas itu yang berumur 60 tahun menemui bayi berkenaan dengan kepalanya tersangkut di celah besi katil ketika memeriksa kawasan asrama.
Sumber dipetik Utusan Malaysia berkata, siasatan awal mendapati mangsa mungkin merangkak untuk keluar dari katil menerusi celah besi.
“Jenazah bayi itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat,” katanya.
Difahamkan, bayi itu dihantar ke pusat kebajikan terbabit untuk dijaga sementara, selepas ibu bapanya ditahan berkaitan kes dadah.
Pusat kebajikan tersebut dihuni 26 kanak-kanak berusia 22 hari hingga 15 tahun yang kebanyakan orang kelainan upaya serta mengalami masalah kesihatan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Rodzi Abu Hassan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.