PENGURUS PEJABAT PALING TUA DI DUNIA, MASIH GIGIH BEKERJA USIA 90 TAHUN
PENGURUS PEJABAT PALING TUA DI DUNIA, MASIH GIGIH BEKERJA USIA 90 TAHUN
JEPUN- Usia sudah lanjut, namun semua itu tidak menghalang seorang warga emas di Jepun untuk terus bekerja seperti biasa.
Kegigihan Yasuko Tamaki yang masih berkhidmat sebagai pengurus pejabat pada usianya ketika ini mencecah 90 tahun menarik perhatian warganet.
Masakan tidak, kebanyakan warga emas pada usia seperti itu sudah tidak lagi bekerja dan berehat di rumah bermain dengan cucu-cucu.
Lapor shethepeople.tv, wanita yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran pada 15 Mei depan itu diiktiraf sebagai pengurus pejabat tertua di dunia oleh Guinness World Records.
Lihat sahaja fotonya yang tular di media sosial bersama pengiktirafan rekod popular itu, masih kelihatan muda berbanding usianya.
Sejak mula berkhidmat pada tahun 1956, Tamaki dikatakan bekerja seperti biasa selama lima hari seminggu di Sunco Industries.
Barangkali ramai tertanya-tanya bagaimana wanita itu mampu bertahan lebih 65 tahun bekerja di pejabat berkenaan?
Dalam satu temu bual, Tamaki berkongsi bahawa sikap mahu membantu mendorongnya untuk terus berkhidmat dan terus setia dengan majikannya itu.
“Mungkin saya dilahirkan untuk membantu orang lain. Jadi, saya mahu buat sesuatu yang boleh membuatkan pengerusi, pengurus dan staf lain gembira.
“Belum terfikir untuk bersara meskipun tahun berganti tahun dan saya berharap dapat terus bekerja seperti biasa,” katanya.
Tamaki mula bekerja di syarikat membuat skrew tersebut selepas lapan tahun majikannya memulakan operasi pada tahun 1948.
Bertugas di bahagian akauntan, Tamaki mengambil tanggungjawab menguruskan gaji dan bonus pekerja selain menguruskan penolakan cukai.
Selain wanita gigih itu, Guinness World Record juga pernah mengiktiraf beberapa individu yang pemegang rekod tertua.
Antaranya, pengiktirafan pengantin paling tua kepada Minne Munro yang berasal dari Australia selepas wanita itu menamatkan zaman bujang pada usia 102 tahun.
Selain itu, Jeanne Louise Calment dari Perancis diiktiraf sebagai aktres tertua dunia kerana masih aktif berlakon pada usia 114 tahun.
Tidak ketinggalan, rekod gimnas paling berusia pula disandang Johanna Quaas selepas menerima perakuan pada usia 86 tahun.