PEMANDU BAS EKSPRES WAJAR AMBIL VAKSIN COVID-19
PEMANDU BAS EKSPRES WAJAR AMBIL VAKSIN COVID-19
KUALA LUMPUR: Pemandu bas ekspres dan penghantar p-hailing meminta kerajaan mempertimbang untuk menyenaraikan mereka sebagai penerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung, Mohamad Kaharuddin Salleh, berkata golongan itu juga wajar diberi keutamaan vaksinasi kerana terdedah kepada risiko jangkitan yang tinggi berikutan perlu berurusan dengan orang ramai setiap hari.
“Memang wajar untuk turut memasukkan golongan pemandu dan pekerja pengangkutan awam ke dalam senarai itu.
“Ini kerana kami beroperasi seperti biasa, termasuk menghantar penumpang dengan surat kebenaran, justeru risiko itu tetap ada,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Buat masa ini, fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan membabitkan golongan barisan hadapan, termasuk petugas kesihatan dan wakil rakyat, lapor BH Online.
GAMBAR HIASAN
Sementara itu, Setiausaha II Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Mohd Arief Fairuz Mohd Zanudin, berkata mereka juga wajar menerima vaksin lebih awal kerana ada yang terpaksa membuat penghantaran ke kawasan Zon Merah, selain kepada individu sedang menjalani kuarantin, demi mencari rezeki.
“Walaupun, pesanan hanya diletakkan di pagar atau sebagainya ketika dihantar kepada individu yang sedang menjalani kuarantin, perasaan bimbang tetap ada.
“Selain itu, mereka pergi ke merata tempat, termasuk hospital, demi menghantar pesanan. Justeru, saya sokong jika penghantar p-hailing dimasukkan ke dalam senarai penerima vaksin fasa pertama,” katanya.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain, melihat perkara itu dari sudut berbeza.
Beliau berkata, kerajaan perlu diberi ruang untuk mengutamakan golongan barisan hadapan, terutama kakitangan kesihatan kerana mereka lebih terdedah kepada risiko jangkitan.
“Vaksin baru saja diterima dan kita harus berlapang dada dengan tidak memberi tekanan kepada kerajaan yang sudah cukup tertekan menangani isu COVID-19.
“Biarlah golongan lebih penting dan berisiko tinggi itu didahulukan. Selepas itu, bolehlah dipertimbangkan untuk kumpulan kami pula,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata, rata-rata pemandu teksi sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP), seperti menyediakan cecair pembasmi kuman di dalam kenderaan dan memakai pelitup muka.
Katanya, ada 380 persatuan dengan kira-kira 38,000 pemandu teksi bernaung bawah gabungan terbabit.