GUNUNG SINABUNG MELETUS
GUNUNG SINABUNG MELETUS
MEDAN: Gunung Sinabung meletus lagi pagi tadi mengeluarkan debu dan asap setinggi 5,000 meter ke udara, selepas memuntahkan lahar kelmarin.
Menurut agensi geologi tempatan, letusan gunung berapi di Kepulauan Sumatera itu bermula apabila ia mengeluarkan asap dan debu awal pagi ini dan merekodkan 13 letusan susulan.
Pihak berkuasa sudah mengeluarkan arahan kepada penduduk setempat supaya mengelak menghampiri kawasan dalam radius lima kilometer (km) dari gunung berkenaan.
Kawasan sekitar gunung itu juga sudah dikosongkan sejak beberapa tahun lalu berikutan peningkatan aktiviti di gunung terbabit.
GAMBAR IHSAN AFP
Bagaimanapun, tidak ada sebarang arahan kecemasan dikeluarkan selain tiada operasi penerbangan yang terjejas.
“Tidak ada petunjuk wujud peningkatan potensi bahaya,” kata agensi terbabit dalam satu kenyataan.
Gunung Sinabung setinggi 2,460 meter itu tidak aktif selama berabad lamanya sebelum aktif semula pada 2010, di mana letusan yang berlaku mengorbankan dua nyawa.
Selepas lama tidak aktif, gunung itu meletus lagi pada 2013 dan sejak itu, ia terus aktif secara berkala.
Dalam letusan pada 2014, sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh manakala tujuh maut dalam letusan pada 2016, lapor AFP.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang memiliki lebih 17,000 pulau, mempunyai hampir 130 gunung berapi yang aktif.
Republik itu terletak dalam Lingkaran Api Pasifik dan plet tektonik yang mengelilingi Lautan Pasifik, di mana aktiviti seismik kerap berlaku.
Gunung berapi di Pulau Jawa itu adalah antara yang paling aktif di dunia dan turut meletus pada awal minggu ini dengan memuntahkan lahar.