PBB KECAM TINDAKAN KEJAM TENTERA MYANMAR
PBB KECAM TINDAKAN KEJAM TENTERA MYANMAR
GENEVA: Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, hari ini mengecam tindakan kejam dalang rampasan kuasa tentera di Myanmar.
Beliau dalam ucapan tahunan di Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC), secara khusus merujuk kepada Myanmar dan mendesak tentera segera menghentikan penindasan serta membebaskan semua tahanan.
“Hari ini, saya meminta tentera Myanmar menghentikan penindasan dengan segera, bebaskan tahanan, tamatkan keganasan.
“Hormati hak asasi manusia dan kehendak rakyat yang dinyatakan dalam pilihan raya baru-baru.
“Rampasan kuasa tidak ada tempat di dunia moden kita,” katanya dalam ucapan menerusi pesan video pada pembukaan sesi ke-46 UNHRC di Geneva.
GAMBAR IHSAN AFP
Pihak berkuasa Myanmar secara beransur-ansur meningkatkan taktik mereka membanteras tunjuk perasaan secara aman menuntut pembebasan pemimpin mereka, Aung San Suu Kyi.
Guterres juga mengecam keganasan melampau Sabtu yang mengakibatkan empat kematian, menerusi ciapan Twitter semalam, menolak sama sekali kekerasan, ugutan dan gangguan terhadap penunjuk perasaan secara aman, lapor AFP.
Kementerian Luar Myanmar bertindak menyerang balik dengan menuduh PBB dan negara asing sengaja campur tangan secara terang-terangan dalam urusan dalamannya.
Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kanada, masing-masing memberi maklum balas terhadap rampasan kuasa dengan sekatan yang menyasarkan jeneral tertinggi Myanmar.
Guterres turut menyuarakan sokongan penuh kepada rakyat Myanmar yang terus mengejar demokrasi, perdamaian, hak asasi dan kedaulatan undang-undang.