SUAMI TOLAK ISTERI MENGANDUNG DARI TEBING BUKIT
SUAMI TOLAK ISTERI MENGANDUNG DARI TEBING BUKIT
TURKI: Samira Aysal, 32, telah jatuh lebih 1,000 kaki ke dalam laut dan meninggal serta merta bersama bayi dalam kandungan 6 bulan.
Motif perbuatan itu dipercayai untuk menebus insurans nyawa bernilai 400,000 Lira Turki (RM230,000).
Hakam Aysal, 40, telah direman atas tuduhan membunuh isterinya ketika bercuti di Butterfly Valley, Mugla, Turki.
Pada awalnya, kejadian itu dilaporkan sebagai kemalangan apabila Hakam Aysal mendakwa yang isterinya telah jatuh sendiri dari tebing gunung yang dilawati itu.
“Isteri saya yang sedang santai di tebing gunung itu telah meminta saya untuk mengambil telefon bimbitnya daripada beg. Apabila saya menoleh kembali, isteri saya tidak lagi duduk di tebing dan saya terdengar jeritannya setelah jatuh,” kata Hakam Aysal dalam kenyataan kepada mahkamah.
Namun begitu, siasatan dibuka apabila Hakam Aysal telah membuat permohonan untuk menebus polisi insurans yang baru dibuat tidak seberapa lama dulu.
Apabila disoal berkenaan polisi insurans itu, Hakam Aysal mendakwa yang dia telah mengambil insurans nyawa untuk mereka kerana pasangan itu berminat dalam sukan lasak sejak 2014, termasuk melakukan aktiviti bungee, payung terjun dan kayak.
Walau bagaimanapun, pihak insurans dan polis mencurigai kejadian itu dan akhirnya Hakam Aysal telah ditangkap dan didakwa atas tuduhan membunuh.
Pihak pendakwa telah menuduh Hakam Aysal atas melaksanakan rancangan membunuh isterinya untuk menebus polisi insurans nyawa di mana tertuduh merupakan satu-satunya penerima manfaatnya.
“Tiada sebab lain untuk mereka berada di tebing gunung itu sehingga 3 jam, apatah lagi dengan mangsa yang sedang sarat mengandung, kecuali untuk memastikan tiada saksi untuk melihat pembunuhan itu.” kata pendakwa di mahkamah tinggi Fethiye, Turki.
Abang kepada mangsa, Naim Yolcu berkata di mahkamah yang kejadian itu sukar dipercayai sebagai kemalangan.
“Hakam seorang yang gayat dan arwah adik pula sarat mengandung. Sukan lasak apa yang mereka nak buat di tebing gunung itu?” kata Naim Yolcu di mahkamah.
“Arwah adik cukup pantang membuat pinjaman kewangan. Tapi, selepas kematiannya, kami telah diberitahu bahawa lebih 3 pinjaman bank dibuat atas nama arwah adik yang gagal dilunaskan.
“Apabila kami sekeluarga berada di hospital, Hakam hanya menunggu di dalam kereta walaupun kami sekeluarga dalam keadaan yang amat bersedih.” katanya lagi.
Hakam Aysal telah mengaku tidak bersalah di atas tuduhan membunuh dan direman untuk siasatan lanjut.