GOOGLE, FACEBOOK PERLU BAYAR KANDUNGAN BERITA
GOOGLE, FACEBOOK PERLU BAYAR KANDUNGAN BERITA
CANBERRA: Kerajaan Australia hari ini memaklumkan pihaknya akan meminda draf undang-undang yang akan membuatkan Google dan Facebook membayar kandungan berita sekali gus kepada penerbit dan bukannya per klik pada pautan artikel berita.
Perubahan legislatif yang dinyatakan dalam kenyataan kerajaan sebagai penjelasan dan pindaan teknikal itu susulan perbincangan pada hujung minggu antara menteri negara itu dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg dan CEO Alphabet Inc, Sundar Pichai dan anak syarikatnya, Google.
Kerajaan konservatif Australia berharap dapat menggubal undang-undang yang dipanggil Kod Tawar-Menawar Media Berita sebelum sesi Parlimen sekarang berakhir pada 25 Februari ini.
Bendahari, Josh Frydenberg dan Menteri Komunikasi, Paul Fletcher dalam satu kenyataan bersama berkata, pindaan yang akan diperkenalkan di Parlimen esok akan meningkatkan kuasa undang-undang berkenaan sambil mengekalkan kesan keseluruhan, lapor Agensi.
Minggu ini, Seven West Media Ltd menjadi saluran berita utama negara itu yang membuat perjanjian pelesenan dengan Google.
Untuk melaksanakannya, ia telah berpisah dari pesaingnya, News Corp dan Nine Entertainment Co Holdings Ltd yang gagal mencapai perjanjian dengan Google serta sebaliknya menyokong undang-undang yang meminta mahkamah menetapkan bayaran kandungan sekiranya tiada perjanjian persendirian.
Di luar Australia pula, Google dan kumpulan pelobi penerbit Perancis bersetuju pada Januari lalu untuk merangka kerja hak cipta bagi syarikat teknologi untuk membayar penerbit bagi kandungan berita dalam talian.