HADI AWANG STABIL
HADI AWANG STABIL
KUALA TERENGGANU: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada dalam keadaan stabil dan memerlukan rehat selepas dilapor mengalami sesak nafas, malam tadi.
Bernama melaporkan, perkara itu disahkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk Muhammad Khalil yang juga anak Abdul Hadi melalui laman Facebooknya.
“Saya baru bercakap dengan ayahanda Tuan Guru sebentar tadi. Keadaan beliau stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadual yang padat.
“Mohon doa dari semua semoga beliau terus sihat untuk berkhidmat kepada ummah,” katanya.
Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam laman Facebook menyatakan Abdul Hadi dimasukkan ke Hospital Putrajaya malam tadi selepas dilapor sesak nafas sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Marilah kita bersama mendoakan kesembuhan kepada Tuan Guru dan kembali sihat seperti sedia kala,” katanya.