5 ANGGOTA POLIS DIDAKWA LAKUKAN PEMERASAN
5 ANGGOTA POLIS DIDAKWA LAKUKAN PEMERASAN
PEKAN: Lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin didakwa di Mahkamah Majistret Pekan hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan dan mengambil harta milik 15 pekerja warga asing di sebuah ladang kelapa sawit di FELDA Chini 3 pada November lalu.
Tertuduh Koperal Noor Adzraai Mohd Noor, 36, Lans Koperal Wan Mohd Asrullah Wan Nor Zali, 35, Lans Koperal Yusof Mohamad, 25, Koperal Azlan Alwi, 35, dan Lans Koperal Muhamad Amin Abu Setaman, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Azizah Ahmad.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pekerja warga Indonesia dan Bangladesh di asrama pekerja ladang tersebut, antara jam 1 hingga 1.30 pagi, 1 Nov 2020, lapor Bernama.
GAMBAR HIASAN
Bagaimanapun, nilai barangan atau wang tunai yang diambil daripada mangsa tidak dinyatakan dalam kertas pertuduhan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 383 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 384 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman, jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhalimatun Saadiah Abdullah manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan.
Azizah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Pada prosiding berasingan, Yusof dan Wan Mohd Asrullah bersama seorang pembantu kedai makan Mohd Hassani Idris, 40, mengaku tidak bersalah melakukan pemerasan dan mengambil tiga unit telefon bimbit milik tiga pekerja warga Indonesia di asrama pekerja ladang di FELDA Chini Timur 2, di sini, pada 1 pagi, 30 Okt 2020.
Azizah membenarkan jaminan RM2,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kedua-dua kes tersebut.