DIBERI SEHINGGA LIMA DOS VAKSIN COVID-19
DIBERI SEHINGGA LIMA DOS VAKSIN COVID-19
SINGAPURA: Seorang pekerja di Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC) tersilap diberi sehingga lima dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech COVID-19, kata institusi kesihatan awam hari ini.
Kesilapan itu berlaku pada 14 Januari lalu ketika latihan vaksinasi dilakukan di SNEC membabitkan kakitangannya.
“Kesilapan itu disedari beberapa minit selepas vaksinasi ketika kakitangan berkenaan sedang berehat di tempat yang ditentukan.
“Doktor kanan dimaklumkan dengan segera untuk kakitangan itu diperiksa sebelum didapati sihat, tanpa sebarang kesan sampingan atau sebaliknya,” kata SNEC dalam kenyataan.
Channel News Asia melaporkan, kakitangan itu kemudian dimasukkan ke Hospital Besar Singapura bagi pemantauan lebih lanjut, sebelum dibenarkan pulang dua hari kemudian.
“Kami sedang memantau dan berhubung rapat dengan pekerja itu, yang kini berada dalam keadaan baik,” katanya.
Ekoran kejadian itu, katanya, latihan vaksinasi dihentikan segera dengan baki kakitangan SNEC akan menerima vaksin di Hospital Besar Singapura.
“SNEC tidak terbabit dalam latihan vaksinasi Singapura bagi kumpulan lain,” katanya.
Menurut kenyataan itu, siasatan mereka menunjukkan itu kesilapan manusia yang disebabkan masalah perhubungan dalam kalangan pasukan vaksinasi, yang menyediakan dan memberikan suntikan ketika itu.
GAMBAR HIASAN
“Pekerja yang bertanggungjawab untuk mencairkan vaksin itu dipanggil bagi menguruskan hal lain, ketika persiapan vaksin itu.
“Pekerja kedua kemudian tersilap fikir bahawa dos yang belum dicairkan dalam bebuli sudah sedia untuk diberikan,” katanya.
SNEC memohon maaf kepada kakitangan yang terjejas serta keluarganya, kata Prof Wong Tien Yin, yang juga pengarah perubatan pusat itu.
“SNEC memandang serius kejadian ini. Keselamatan mereka yang menerima vaksinasi ketika latihan itu menjadi keutamaan kami.
“Kami sangat menyesal kejadian ini boleh berlaku.
“Kami akan terus memantau kesihatan kakitangan dengan teliti dan memberikan sokongan diperlukan,” katanya.