200 HILANG SELEPAS GLASIER PECAH
200 HILANG SELEPAS GLASIER PECAH
NEW DELHI: Tiga orang disahkan meninggal dunia, sementara sekurang-kurangnya 200 orang masih hilang di utara India, selepas glasier pecah mengakibatkan limpahan besar air sungai yang merosakkan jambatan dan jalan raya.
Polis berkata, aliran air besar itu melalui lembah sungai Dhauliganga, menghancurkan semua yang berada di atas jalan, berdasarkan video dirakam penduduk.
Tiga mayat dijumpai dan usaha mencari digandakan untuk menemui lebih ramai lagi, kata polis, sementara usaha sedang dilakukan untuk membantu kampung yang terkesan di wilayah Uttarakhand, lapor AFP.
“Kami sudah menemui sekurang-kurangnya tiga mayat di dasar sungai. Kemas kini terakhir kami merekodkan jumlah orang yang hilang 150 orang. Seramai 16 atau 17 orang pula terperangkap di dalam terowong,” kata jurucakap polis.
Sebilangan besar yang masih hilang berada di loji jana kuasa Tapovan, bersebelahan empangan yang dihentam arus deras.
Petugas kecemasan terus berusaha menyelamatkan kira-kira 17 orang yang masih terperangkap di dalam terowong yang dipenuhi serpihan.
Rakaman video telefon bimbit yang dikongsi di media sosial juga menunjukkan limpahan deras air yang melalui lembah sempit di bawah loji jana kuasa, mengakibatkan jalan dan jambatan musnah.
Sebilangan besar penduduk kampung yang dipindahkan berada di lereng bukit yang berdekatan pinggir sungai.
“Pentadbiran daerah, jabatan polis dan badan pengurusan bencana sudah diarahkan untuk menangani bencana ini,” kata Ketua Menteri Uttarakhand, Trivendra Singh Rawat di Twitter.
Pihak berkuasa mengosongkan dua empangan dalam usaha menghentikan limpahan banjir hingga ke Sungai Gangga di bandar Rishikesh dan Haridwar, selain larangan kepada orang awam mendekati tebing sungai.
“Banjir kilat sudah menyebabkan kerosakan empangan bersebelahan loji jana kuasa Rishiganga serta infrastruktur lain,” kata pegawai kanan polis di wilayah itu, Neeru Garg.