RELA DITUGASKAN PANTAU SOP SEKTOR PERKILANGAN
RELA DITUGASKAN PANTAU SOP SEKTOR PERKILANGAN
KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menjalankan pemeriksaan dan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di sektor perkilangan.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia sebagai menambah usaha pemantauan di kawasan kilang yang diketahui menjadi antara yang menyumbang kepada kluster positif COVID-19 membabitkan tempat kerja.
GAMBAR HIASAN
“Untuk sektor perkilangan, memang kita telah pun membenarkan pihak pihak berkuasa tempatan untuk membuat pemeriksaan.
“Keputusan mesyuarat yang baharu, kita ingin memperluaskan perkara itu kepada RELA untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan,” katanya dalam sidang media harian di Kementerian Pertahanan, hari ini.
Bagaimanapun katanya, untuk pemeriksaan di pejabat tidak kira swasta atau kerajaan, pasukan petugas operasi pematuhan SOP boleh melakukan pemeriksaan sekiranya ada keperluan.
Bagaimanapun, katanya adalah lebih baik majikan sendiri memastikan SOP yang ditetapkan kerajaan dipatuhi untuk keselamatan pekerja masing-masing khususnya di dalam pejabat dan di tempat kerja, lapor BH Online.
Mengenai arahan kerajaan mewajibkan semua majikan menanggung kos ujian saringan COVID-19 pekerja masing-masing dan kemungkinan ada di antara majikan memotong gaji pekerja untuk tujuan itu, Ismail Sabri kata pekerja yang tertindas boleh membuat aduan terus kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM).
GAMBAR HIASAN
“Kita tahu ramai majikan yang tidak mahu membayar kos saringan bagi pihak pekerja mereka.
“Dimaklumkan KSM akan mewujudkan hotline khas supaya pekerja yang tertindas boleh menghubungi kementerian untuk membuat aduan dan seterusnya majikan itu boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Mengenai cadangan supaya sektor pembinaan dan perkilangan ditutup daripada beroperasi kerana banyak menyumbang kepada jumlah kes COVID-19 di negara ini, beliau berkata penutupan operasi secara bersasar sudah pun dilakukan.
“Kerajaan mengambil dua langkah proaktif iaitu pertama, mewajibkan semua pekerja di tapak binaan tidak kira warga asing atau tempatan menjalani ujian saringan.
“Kedua, memastikan majikan menyediakan tempat kediaman yang lebih sempurna untuk pekerja mengikut yang diperuntukkan dalam Akta 446.
“Perkara ini sedang dilakukan dan difahamkan akan ada pindaan dan ordinan darurat untuk memberikan tempoh kepada majikan untuk menyediakan perumahan yang baik untuk pekerja mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberikan amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan lebih tegas dengan menutup mana-mana sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya dikesan berlaku kes positif COVID-19 atau melanggar SOP ditetapkan.
Untuk industri kreatif seperti rakaman iklan, filem dan drama, Ismail Sabri berkata pihaknya meminta pihak yang mewakili industri itu untuk mengeluarkan cadangan SOP yang lebih lengkap bagi dibincangkan sebelum dipertimbangkan untuk beroperasi semula.