INDONESIA LARANG SEKOLAH PAKSA PELAJAR PAKAI TUDUNG
INDONESIA LARANG SEKOLAH PAKSA PELAJAR PAKAI TUDUNG
JAKARTA: Kerajaan Indonesia menghalang sekolah di seluruh negara memaksa pelajar atau anggota fakulti memakai tudung atau menggambarkan ciri tertentu agama lain, menyatakan itu hak individu, bukan institusi.
The Straits Times melaporkan, keputusan bersama oleh menteri mengenai perkara itu dikeluarkan semalam, berikutan kekecohan baru-baru ini selepas sebuah sekolah vokasional di Padang dikendalikan oleh pentadbiran di wilayah Sumatera Barat mewajibkan semua pelajar perempuan, termasuk bukan Islam, memakai jilbab Muslim.
“Ia hak individu. Guru, pelajar dengan persetujuan ibu bapa mempunyai hak untuk memilih. Ini bukan keputusan sekolah.
“Sekolah sepatutnya mempromosikan ideologi pluralisme agama Indonesia, memupuk perpaduan dan keharmonian agama,” kata Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Nadiem Makarim pada taklimat media maya, semalam.
GAMBAR HIASAN
Nadiem bersama Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tito Karnavian dan Menteri Hal Ehwal Agama, Yaqut Cholil Qoumas, menandatangani keputusan menteri terbabit.
Nadiem berkata, apa-apa undang-undang kecil yang ada yang dikeluarkan oleh pemerintahan daerah atau peraturan oleh sekolah yang melanggar perintah baharu ini harus dibatalkan dalam 30 hari berikutnya.
Katanya, sekatan itu termasuk pemotongan dana bantuan.
Bulan lalu, seorang pelajar perempuan bukan Islam di sekolah Padang dihukum selepas enggan mematuhi peraturan yang mewajibkan semua pelajar perempuan memakai tudung ketika mengikuti kelas dalam talian.
Seterusnya, video Facebook yang disiarkan oleh ibu pelajar yang pergi ke sekolah untuk membuat tunjuk perasaan menjadi tular dan disiarkan di media nasional.
Kekecohan yang berlaku mendorong sekolah untuk meminta maaf dan menarik balik hukuman.
Peraturan kontroversi sekolah itu bagaimanapun, berteraskan undang-undang kecil wilayah Sumatera Barat yang dikeluarkan pada 2005 yang mewajibkan semua pelajar perempuan memakai tudung di sekolah tanpa mengira agama mereka.
Kumpulan Hak Asasi, Institut Setara yang berpusat di Jakarta, berkata banyak sekolah di Indonesia sudah lama menerapkan peraturan sama berdasarkan apa yang mereka katakan sebagai adat dan tradisi setempat.