KENA KOMPAUN DI PUSAT PENGURUSAN MAYAT
KENA KOMPAUN DI PUSAT PENGURUSAN MAYAT
21 ORANG TIDAK MENGAMALKAN JARAK FIZIKAL SETELAH DIBERI AMARAN
BENTONG: Seramai 21 orang warganegara tempatan dikompaun ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) di sebuah pusat pengurusan mayat di dalam kawasan pentadbiran polis daerah Bentong pada jam 3.30 petang, semalam.
Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, 15 lelaki dan 6 perempuan berumur antara 14 hingga 75 tahun tidak mengamalkan penjarakan fizikal seperti ditetapkan.
“Pihak polis telah memberikan peringatan dan juga amaran berkaitan SOP kepada mereka, namun setelah rondaan kali kedua dilakukan di lokasi yang sama, mereka masih juga tidak mematuhinya, maka tindakan kompaun telah diambil.
“PDRM sentiasa menghormati upacara keagamaan yang diadakan namun ia perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan, kompaun dikenakan kerana melanggar PKP 2.0 dibawah Perkara 16 (1) peraturan-peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit 2021,” katanya.
Katanya, sepanjang tempoh perintah PKP 2.0 mulai 22 Januari 2021, pihak polis Bentong telah mengeluarkan sebanyak 43 kompaun sehingga 1 Februari 2021 dengan pelbagai kesalahan kerana melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Manakala, sepanjang tempoh PKP dari Mac 2020 hingga semalam, jumlah keseluruhan sebanyak 152 kompaun telah dikenakan kerana melakukan kesalahan di bawah peraturan – peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit itu.
GAMBAR IHSAN IPD BENTONG
Kata Zaiham, polis daerah Bentong menyeru kepada orang ramai sentiasa mematuhi SOP agar rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan, kerjasama dan kesedaran masyarakat amat diperlukan.