UK SEKAT PELANCONG AMERIKA SYARIKAT & PORTUGAL
UK SEKAT PELANCONG AMERIKA SYARIKAT & PORTUGAL
LONDON: Britain akan menyekat kesemua pengembara dari Amerika Selatan, Panama, Cape Verde dan Portugal bermula 0400 GMT Jumaat berikutan kebimbangan penularan varian baharu COVID-19 dari Brazil.
GAMBAR IHSAN AFP
“Saya sudah mengambil tindakan segera susulan bukti wujudnya varian baharu di Brazil,” menurut Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps di Twitter.
Shapps berkata pengecualian diberikan kepada syarikat pengangkutan yang melakukan perjalanan dari Portugal bagi membolehkan pengangkutan barang-barang keperluan dilakukan.
Jabatan Pengangkutan berkata, mereka juga akan menguatkuasakan larangan penerbangan terus ke England dari Argentina, Brazil, Cape Verde dan Portugal.
Beberapa varian virus dikenal pasti sejak pandemik bermula tahun lalu, termasuk yang lebih mudah menjangkiti, sekali gus menyebabkan lonjakan jangkitan di Britain dalam beberapa bulan terakhir.
Bagaimanapun strain lain dikenali sebagai E484K, dikesan di Afrika Selatan dan varian berikutnya di Brazil dan Jepun yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyelidik terhadap kemungkinan kesan kepada imuniti, lapor AFP.
Kerajaan United Kingdom (UK) berdepan kritikan berhubung dasar sempadan ketika krisis kesihatan, apabila terus membenarkan penerbangan antarabangsa keluar masuk ketika lonjakan kes tahun lalu.
GAMBAR IHSAN AFP
Negara itu kemudiannya memperkenalkan kaedah pengasingan kendiri jika rakyatnya pernah berada di mana-mana negara yang tidak disenaraikan dalam senarai koridor perjalanan.
Bagaimanapun bermula Isnin depan, pengembara perlu menyertakan bukti ujian saringan COVID-19 negatif sebelum mereka dibenarkan masuk ke England atau berdepan tindakan denda AS$685 (RM2,765).
Penguatkuasaan larangan itu dicadangkan bermula Jumaat tetapi Rabu lalu, kerajaan berkata, larangan itu ditangguhkan bagi memberi masa lebih lama kepada pengembara untuk bersedia.
Jurucakap Perdana Menteri, Boris Johnson mempertahankan penangguhan itu selepas mereka dikritik berhubung cara pengendalian krisis.
Britain yang menjadi antara negara paling teruk terjejas akibat COVID-19 di Eropah merekodkan 85,000 kematian dan lebih 3.2 juta kes jangkitan.