OPS SARANG GEMPUR PORT PENAGIH
LANGKAWI: Polis menahan 42 individu termasuk seorang wanita atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Op Sarang 3.0 di pulau ini semalam.
Memetik laporan BH ONLINE, operasi bermula dari jam 8 pagi hingga 10 malam itu sebanyak tiga PORT penagihan dadah digempur membabitkan 25 pegawai dan anggota polis.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata operasi itu turut disertai seorang pegawai dan tiga anggota Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi.
“Semua suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 57 tahun membabitkan masing-masing seorang pengedar dan memiliki dadah, manakala 40 penagih dadah.
“Serbuan membabitkan tiga sarang penagihan dadah iaitu Taman Nilam, Kampung Bakau Kelibang dan Bukit Malut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Shariman berkata, polis turut merampas dadah heroin seberat 3.10 gram (g).
“Seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan seorang lagi mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952.
“Selain itu, 40 individu lain disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) akta sama selepas didapati positif dadah,” katanya.