DIPENJARA CURI MAKANAN DI PASARAYA
CURI MAKANAN DI PASAR RAYA, IBU JELITA DIPENJARA
AYER KEROH: Mencuri bukan sesuatu yang boleh dilakukan meskipun berhadapan desakan hidup ketika penularan wabak COVID-19.
Itu teguran Majistret Mohamad Izwan Mohamad Noh kepada seorang wanita, Zalifah Salleh, 38, yang mengaku mencuri beberapa jenis minuman dan makanan di sebuah pasar raya di Bandaraya Melaka, di sini, akhir September lalu.
GAMBAR HIASAN
Menurut Mohamad Izwan, perbuatan mencuri itu adalah satu kesalahan dan perlu diberikan pengajaran setimpal bagi mengelakkan orang lain mencontohinya.
“Ketika ini (penularan pandemik COVID-19) saya faham, ramai yang (hidup) terdesak, tetapi puan (tertuduh) boleh mendapatkan bantuan daripada saluran yang betul dan bukannya mencuri. Matlamat tidak menghalalkan cara,” katanya.
Memetik laporan Utusan Online , tertuduh yang juga suri rumah dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, tadi, kerana didapati dengan niat curang mencuri tanpa membuat sebarang pembayaran barangan bernilai RM161.10 kepunyaan juruwang, Siti Rahmah Muhamad Salih, 30.
GAMBAR HIASAN
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira jam 2 petang di pusat beli-belah di Bandaraya Melaka, Jalan Panglima Awang di sini, pada 30 September lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, antara makanan yang dicuri tertuduh adalah dua kotak kopi jenama Starbucks, satu botol Nuttela 680 gram, dua bungkusan sushi, empat kotak susu UHT Dutch Lady, satu botol Ribena Mobile dan dua tin biskut coklat Amore.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan sewaktu kejadian dia tidak mempunyai wang mencukupi untuk membuat pembayaran.
Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya, Raudhah Mazman, memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.
Selepas mendengar hujahan kedua pihak, Mohamad Izwan kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM1,200 atau empat bulan penjara jika gagal bayar.
Tertuduh kemudiannya membayar denda berkenaan.