JUAL VIOLIN DEMI BAPA
BERHASRAT UNTUK JUAL VIOLIN DIMENANGI BERNILAI RM20,000
PETALING JAYA: Seorang pemain violin kelahiran negeri Perak terpaksa menjual violin kesayangannya berjenama Otto Jos Klier (OJ Klier) bagi mengurangkan bebanan kewangan keluarga untuk membeli sebuah kerusi roda baharu untuk ayahnya.
Ell Zain Hyder atau dengan panggilan Endang Hyder ialah seorang pemain violin profesional dan mendapat pendidikan muzik klasik dari Universiti Queen, di Belfast, Ireland Utara.
Endang mula bermain violin sejak berusia 10 tahun dan pernah mengadakan persembahan secara profesional beberapa tahun lalu di peringkat antarabangsa, tetapi mengambil keputusan untuk bersara bagi memberi sepenuh perhatian menjaga ayahnya yang sakit sejak 2013.
“Ayah saya tidak mempunyai kaki lagi dan tangan kirinya mulai lemah, saya bersyukur dan mujur saya mempunyai sedikit simpanan untuk membeli kerusi roda elektrik untuknya.
“Tetapi demi menjaga kestabilan kewangan keluarga, saya terpaksa menjual violin kesayangan OJ Klier kerana (sebagai pemuzik) tidak dapat mengadakan persembahan yang menjadi punca pendapatan sepanjang pandemik ini,” katanya.
Katanya, bukan dia sahaja terkesan malah ramai pemuzik lain turut terjejas, begitu juga kerjaya lain yang pendapatan bulanan dikurangkan, diberi cuti tanpa gaji dan lebih menyedihkan ada yang diberhentikan kerja.
“Saya terpaksa menjual hadiah yang dimenangi dan juga peralatan muzik yang sangat bernilai bagi saya untuk meneruskan kehidupan.. membeli barangan keperluan harian dan mengisi perut sekeluarga adalah benda terpenting ketika ini.
“Saya bukan orang yang ingin meminta-minta sumbangan orang ramai.. jadi pilihan tepat adalah menjual peralatan muzik yang saya ada.. sebelum ini saya juga sudah menjual violin elektrik untuk menampung kos hidup kami sekeluarga,” katanya.
Katanya, ayahnya, Zainuddin Ottok adalah bekas guru dan pensyarah Bahasa Inggeris mengidap penyakit kencing manis dan kaki kiri ayahnya dipotong di paras bawah lutut awal bulan November lalu.
Ibu berusia 34 tahun itu tidak sedih dengan tindakannya melepaskan violin kesayangannya itu demi keselesaan ayahnya.
“Semasa muda, ayah tidak mempunyai pendapatan yang tinggi dan harga sebuah violin agak mahal dan di luar kemampuan kami, maka ayah saya berjimat cermat untuk mendapatkan sebuah violin kerana dia nampak saya sangat berminat dalam muzik.
“Dia telah melakukan yang terbaik dan sentiasa menyokong saya untuk mendapat ilmu dalam bidang muzik.. sekarang tiba masa untuk saya membalas jasa ayah,” kata Endang.
Beberapa tahun lalu, Endang sangat dikenali ramai apabila rakaman persembahan dia memainkan lagu popular menggunakan violin di YouTube berjaya menarik ratusan ribu pengikut di rangkaian YouTube miliknya.
“Sekarang saya mengadakan kelas bermain alat muzik seperti violin, gitar, piano dan ukulele tetapi hanya tinggal 4 orang pelajar sahaja dan ramai yang membatalkan kelas kerana turut berjimat-cermat ketika berhadapan pandemik ini,” katanya.