BOLEH DAKI GUNUNG KINABALU MINGGU DEPAN
KOTA KINABALU: Aktiviti mendaki Gunung Kinabalu akan dibuka semula secara berperingkat bermula Isnin depan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, ia sejajar kebenaran untuk membuka semula taman di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah mulai hari sama.
MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN SABAH, MASIDI MANJUN/TWITTER
“Kerajaan negeri melalui Taman-Taman Sabah sedang bersiap sedia membuka semula pintu taman secara berperingkat kepada pelawat tempatan dengan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat bermula 7 Disember ini.
“Aktiviti pendakian Gunung Kinabalu juga akan dibuka secara berperingkat bermula pada hari yang sama.
“Sebagai permulaan, kapasiti pendaki dibenarkan adalah tidak melebihi 50 peratus berbanding kapasiti pendaki dibenarkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya seperti lapor BH Online.
Beliau membuat kenyataan tersebut ketika sidang media perkembangan semasa COVID-19 Sabah, malam tadi.
Tambahnya, kapasiti pendaki dibenarkan di gunung tertinggi Asia Tenggara itu juga mengambil kira jumlah bilik penginapan pendaki di sepanjang pendakian.
Katanya, Taman-Taman Sabah akan buat pengumuman lanjut berkaitan SOP perlu dipatuhi pendaki sebelum aktiviti pendakian bermula.
Sebelum ini, kerajaan negeri sudah membenarkan aktiviti menyelam kepada penggemar aktiviti itu dengan SOP ketat termasuk tidak melebihi 30 peratus kapasiti bot digunakan.
Sementara itu, mulai Isnin depan juga separuh daripada jumlah kakitangan awam negeri di Sabah akan mula bekerja di premis jabatan dan agensi masing-masing.
Masidi berkata, ia sejajar keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah yang memutuskan kehadiran 50 peratus kakitangan awam negeri mulai 7 Disember ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memutuskan kehadiran 50 peratus penjawat awam negeri Sabah bermula 7 Disember, iaitu pada Isnin ini.
Sebelum ini, kakitangan awam negeri dibenarkan bekerja dari rumah atau bekerja di pejabat secara bergilir sebagai langkah untuk mencegah penularan COVID-19 di tempat kerja.