6 SUSPEK TEMBAK PGA DIBERKAS
6 SUSPEK TEMBAK PGA DIBERKAS
KUALA LUMPUR: Polis sudah menahan enam daripada 13 individu yang disyaki dalang serangan bersenjata terhadap dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) awal pagi.
SUSPEK berjaya ditahan berhampiran lokasi kejadian
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata dua daripada suspek ditahan pasukan keselamatan Malaysia, manakala empat lagi ditahan pihak berkuasa Thailand.
“Seorang ditahan berhampiran lokasi kejadian oleh anggota Komando 69 manakala seorang lagi ditahan oleh anggota Batalion 3 PGA,” katanya dalam sidang media dipetik dari Malaysiapost.
Katanya, usaha memburu baki tujuh lagi anggota kumpulan penyerang itu sedang dijalankan pihak berkuasa kedua-dua negara.
SALAH seorang suspek berjaya diberkas ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Selatan Thailand
Dalam kejadian jam 3.10 pagi tadi, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban terkena tembakan, manakala Koperal T Norihan, 39, cedera parah dan dilaporkan kritikal.
Difahamkan, sindiket penyeludupan disyaki dalang serangan dua anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi tadi.
Surina berkata, kejadian tembak-menembak itu bermula apabila dua anggota PGA terbabit bertembung dengan kumpulan penyeludup berkenaan.
“Sejurus kejadian, anggota yang cedera telah diminta oleh seorang lagi anggota (Baharuddin) untuk dapatkan bantuan TS 9 (pasukan Batalion 3 PGA) yang kemudian tiba dalam masa singkat sebelum mendapati Koperal Baharuddin telah meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian itu penyeludup membawa antara 400 hingga 500 kilogram daun ketum serta ubat batuk.
“Dalam insiden tersebut, kita dapat maklumat tiga penyeludup warga Thailand telah cedera dan mendapatkan rawatan hospital di Hatyai dan Sadao,” katanya sambil menambah pihaknya akan maklumat terperinci daripada Norihan apabila keadaannya stabil.
Surina turut menegaskan polis akan menjalankan siasatan terperinci dan mendapatkan pelbagai maklumat bagi semua anggota penyeludup yang terlibat dapat ditangkap.
Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap kedua-duanya anggota PGA tersebut yang berani bertempur dengan kumpulan penyeludup negara jiran terbabit.