BURUNG EKSOTIK SUMBER PENDAPATAN SAMPINGAN
KUALA KRAU: Tidak semua anak muda memiliki minat tinggal di kampung dan menternak haiwan eksotik namun itu menjadi pilihan bagi seorang graduan Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Makanan dari Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan.
Beliau yang mewarisi minat bapanya yang gemar memelihara burung untuk hiasan ini bercita cita tinggi kelak suatu hari akan membuka Zoo Mini di rumah kini di samping ia memberikan pulangan yang lumayan.
Syed Muhammad Husaini Syed Nooh, 26 tahun dari Kampung Kuala Tekal dekat Kuala Krau, Pahang mula serius dengan kerjayanya kini selepas mendapat lesen memelihara burung spesis kakak tua daripada Jabatan Perhilitan akhir tahun lalu.
Membina sangkar dan reban di belakang rumah bapanya, beliau kini memiliki kira-kira 100 ekor burung dan ayam eksotik yang terdiri daripada 20 spesis.
Menurutnya, kebanyakan burung yang dipeliharanya kini adalah daripada spesis kakak tua baka dari pelbagai negara.
Jelasnya, beliau akan menjual anak-anak atau burung yang sudah dewasa melalui Facebook dengan harga antara RM100 hingga RM10,000 seekor bergantung pada usia dan spesis lengkap dengan lesen.
Tambahnya, antara spesis induk yang beliau pelihara sekarang adalah sun conure, indian ringneck, australia rainbow loriket, medium sulphur cockcatoo, congo africa grey, cockatiel, english budgie manakala bagi spesis ayam eksotik pula polland buff, phoenix, onagadori, brahma, modern game, usa silkie dan sebright bantham.
Beliau juga memelihara spesis Kuang seperti kuang reeves, golden, yellow, lady armhest, kalij, silver dan ringneck.
Katanya, beliau akan mengepos haiwan peliharaannya yang dibeli menggunakan bas atau pembeli datang mengambil sendiri di rumahnya
Beliau merancang dan bercita cita ingin membuka zoo mini dan mengembangkan lagi aktiviti ternakannya itu dengan menambah baka-baka haiwan eksotik lain namun lebih mengutamakan spesis berkepak.
“….impian saya kira kita nak besarkan lagi skop dalam bidang ni ..contohnya saya untuk permulaan saya akan buka kedai pet shop andai kata ada rezeki lebih kita akan buat satu mini zoo ..mini zoo ni yang mana orang lain boleh datang ..bolah bawak anak datang tengok mana unggas unggas yang ada dalam dunia ni ..sebab budak zaman sekarang dia kenal dan tak tahu tentang ilmu burung ni biasa yang tahu terkukur ,merbuk jadi kita nak kenal burung yang ada dalam dunia ni .”
Walaupun kerjanya nampak mudah namun beliau mengakui tetap ada cabaran antaranya perlu memahami kehendak atau kerenah burung-burung berkenaan.