PILIH ADUN LANTIKAN IKUT KELAYAKAN
LIPIS: Pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di negeri Pahang perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati supaya ia benar-benar dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Setakat ini, kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan membabitkan usul diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemilihan tersebut memerlukan tempoh masa kerana perlu meneliti pelbagai faktor seperti kelayakan calon selain perlu menunggu usul tersebut untuk diwartakan.
Wan Rosdy berucap pada Program Cakna Tok Wan
Katanya, rakyat perlu tahu bahawa keputusan untuk melantik lima ADUN tanpa proses pilihan raya tersebut bukanlah menyalahi mana-mana peruntukan perlembagaan.
Usul itu dibuat bagi bagi memastikan rakyat menyalurkan kesulitan dihadapi ke ruang yang lebih luas supaya dapat mencari jalan penyelesaian.
“Tidak bermakna ia (usul) diluluskan, kita terus lantik.. perkara ini perlukan masa kerana kerajaan negeri kena tengok juga kesesuaian calon bagi mewakili kumpulan minoriti di Pahang.
“Banyak faktor kena ambil kira.. kita kena tunggu juga usul itu diwartakan terlebih dahulu dan selepas itu baru kita pilih calon mempunyai kelayakan dan memenuhi kriteria yang kita perlukan,” katanya kepada media selepas merasmikan program Cakna Tok Wan di Dewan UMNO Bahagian Cameron Highlands, dekat sini.
Penduduk hadir pada Program Cakna Tok Wan
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Wan Rosdy berkata, walaupun jumlah dicadangkan bagi ADUN lantikan adalah seramai lima orang, namun kerajaan negeri mungkin hanya melantik seorang atau dua orang sahaja bagi memenuhi kuota ditetapkan.
“Mungkin kita cuma lantik ADUN (lantikan) bagi mewakili masyarakat Orang Asli.. mungkin kita lantik untuk mewakili kaum Sikh.. (lantikan) adalah untuk mewakili kumpulan minoriti dan kerajaan negeri belum lagi ada calon untuk lantikan ADUN ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengenalpasti tapak bersesuaian untuk pembinaan kompleks pejabat daerah kecil Lipis dengan kos pembinaan RM10 juta bagi memudahkan penduduk terutama dalam DUN Jelai untuk berurusan.
Pejabat Daerah Kecil Lipis itu bagi memudahkan penduduk membayar cukai hasil dan tanah tanpa perlu ke bandar Lipis.