APMM USIR BOT NELAYAN ASING, 2 KAPAL TANGKI
CUBA CEROBOH PERAIRAN NEGARA
KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang mengusir sebuah bot nelayan asing Vietnam dan dua kapal tangki yang dikesan menceroboh perairan negara di dua lokasi berbeza kelmarin.
Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama (Maritim) Datuk Amran Daud berkata, sebuah bot nelayan Vietnam dengan nombor pendaftaran KG 858 TS serta dua kapal tangki yang sedang merapat dalam keadaan mencurigakan itu dikesan oleh pesawat udara Bombardier CL415 agensi itu di 43 dan 90 batu nautika timur ketika melaksanakan rutin pengawasan udara di sekitar perairan Pahang.
Menurutnya, maklumat pencerobohan itu kemudiannya disalurkan kepada Kapal Maritim (KM) Pekan yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut berhampiran lokasi kejadian pencerobohan bot dan kapal terbabit.
“Sebaik menyedari kehadiran pesawat udara dan kapal APMM, bot nelayan terbabit menukar haluan menuju ke perairan antarabangsa dan KM Pekan terus memantau dan mengusir bot nelayan Vietnam itu sehingga keluar dari sempadan perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan Harian Metro.
Beliau berkata, selepas bot nelayan asing itu diusir, KM Pekan bergegas ke lokasi dua kapal tangki dan menghubungi melalui radio berfrekuensi tinggi (VHF) Channel 16 tetapi kapal tangki terbabit tidak memberi maklum balas.
Menurutnya, KM Pekan menyalakan lampu amaran dan susulan itu, kedua-dua kapal tangki berkenan bergerak perlahan-lahan keluar dari perairan negara sambil diawasi oleh KM Pekan.
“KM Pekan kini berada di kawasan sempadan perairan negara untuk memastikan bot dan kapal asing terbabit tidak memasuki semula perairan negara.
“Keberadaan KM Pekan di kawasan itu juga bertujuan untuk memantau dan melakukan pengusiran terhadap bot dan kapal asing yang dikesan menceroboh.
“Bagi tempoh dua minggu ini, sebanyak sembilan pengusiran dibuat oleh aset APMM Pahang dan dibantu aset dari APMM Johor di perairan Pahang.
“Sepanjang tahun ini, APMM Pahang merekodkan 41 pengusiran dan daripada jumlah itu 39 daripadanya adalah dari bot nelayan Vietnam membabitkan seramai 337 kru termasuk tekong.
“Pengusiran nelayan asing dan kapal tangki itu adalah tindakan sementara dalam tempoh pencegahan penularan COVID-19 serta mengekang wujudnya kluster baharu terutama di lokap penahanan suspek yang boleh memberi risiko jangkitan kepada pasukan barisan hadapan dan juga rakyat tempatan,” katanya.