64 rumah, inp desa dinaiki air di Maran
Foto atas : Rumah penduduk dipenuhi lumpur selepas banjir kilat di Kampung Kuala Sentul di Maran, semalam
64 rumah, inp desa dinaiki air di Maran
MARAN – Hujan lebat berterusan selama dua jam sejak petang semalam menyebabkan kejadian kepala air dan banjir kilat membabitkan 64 buah rumah di Kampung Kuala Sentul, Maran dan inap desa kawasan Rekreasi Che Minah Sayang di sini.
Ketua Kampung Kuala Sentol, Mohd. Asri Mat Piah berkata, hujan lebat itu menyebabkan berlakunya kepala air dari Gunung Berantai yang mengalir deras ke Sungai Yeh dan melimpah ke kawasan rumah penduduk.
Menurutnya, air yang disertai lumpur masuk ke dalam rumah sedalam kira-kira satu meter mengulangi kejadian serupa beberapa tahun lalu.
“Kebanyakan rumah yang terjejas berada di lokasi rendah, banjir kilat berlaku dengan pantas. Ada penduduk tidak sempat memindahkan perabot dan perkakasan dalam rumah ke tempat selamat,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, penduduk kini giat membersihkan rumah daripada kesan lumpur yang dibawa air banjir dari Sungai Yeh yang berpunca dari Gunung Berantai.
Sementara itu, Pengerusi Belia Majlis Daerah Maran, Zafril Nasir berkata, kejadian banjir kilat turut menjejaskan kawasan Rekreasi Che Minah Sayang Lubuk Ujid menyebabkan lima inap desa tenggelam. -KOSMO! ONLINE.