4 TERMASUK SUAMI ISTERI EDAR, MILIKI DADAH
Berita Mahkamah
4 TERMASUK SUAMI ISTERI EDAR, MILIKI DADAH
MARANG: Sepasang suami isteri bersama dua rakan mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis heroin, syabu dan pil kuda.
Tertuduh, Mohd Al-Hafis Ab Razak, 35 bersama isteri, Sharmilla Salbaan, 26, serta dua rakan, Mohamad Iskandar Shah Zaim, 26, dan Ammarudin Zainuddin, 26, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara bersama-sama mengedar dadah berbahaya disyaki heroin dengan berat kasar 142.3 gram di sebuah rumah di Kampung Kelulut, di sini jam 8.30 malam pada 5 Oktober lalu.
Semua tertuduh turut didakwa mengedar dadah berbahaya disyaki methamphetamine dengan berat kasar 102.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Mohd Al-Hafis turut berdepan 10 lagi pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, manakala tiga lagi tertuduh termasuk Sharmilla dihadapkan empat lagi pertuduhan memiliki dadah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Engku Nurul Ain menetapkan 24 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan.
Terdahulu, media melaporkan pasangan suami isteri yang aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah ditahan apabila rumah sewa yang dijadikan lokasi pengedaran bahan terlarang itu diserbu polis.
Pasangan itu ditahan bersama dua lagi lelaki di dalam rumah berkenaan di Kampung Kelulut, di sini.
Sumber: BH Online