ZII JIA TERSUNGKUR DI BANGKOK
ZII JIA TERSUNGKUR DI BANGKOK
KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia tewas di pusingan pertama Toyota Terbuka Thailand sekali gus merekodkan kekalahan keduanya di tangan pemain India, Sameer Verma, sebentar tadi.
Pilihan kelapan kejohanan itu tewas 21-18, 25-27, 19-21 selepas bersaing sengit dalam tempoh satu jam 14 minit dengan lawannya berusia 26 tahun itu dijadual bertemu pemain Denmark, Rasmus Gemke pada pusingan kedua esok, lapor BH Online.
Kali terakhir Verma meraih kemenangan ke atas Zii Jia adalah di pusingan pertama Terbuka Australia pada Mei 2019 dengan melakar kemenangan 15-21, 21-16, 12-21 sekali gus menjadikan rekod pertemuan mereka kepada 4-2.
Sementara itu, pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memperoleh kemenangan selesa ke atas gandingan Jerman, Jones Ralfy Jansen-Kilasu Ostermeyer dengan keputusan 21-13, 21-13 dalam tempoh 30 minit.
Peng Soon-Liu Ying dijadual bertemu antara gandingan Indonesia, Adnan Maulana-Mychelle Crhystine Bandaso atau Eloi Adam-Margot Lambert dari Perancis yang akan bertemu dalam gelanggang petang ini.
Sebelum itu, beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong melangkah ke pusingan kedua selepas gandingan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Lee Yong Dae menarik diri pada set pertama ketika keputusan 6-2.
Turut mengikut jejak mereka adalah Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan gandingan Thailand, Weeraphat Phakjarung-Wongsathorn Thongkham 21-10,21-18 dalam tempoh 32 minit.
Pasangan beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen turut mara apabila menewaskan gandingan dari England, Chloe Birch-Lauren Smith 21-14, 21-14 dalam tempoh 34 minit.
Vivian-Cheng Wen dijadual bertemu gandingan Perancis Emilie Lefel-Anne Tran yang meraih kemenangan percuma selepas lawan mereka dari Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida menarik diri daripada perlawanan.
Pemain perseorangan wanita, S Kisona turut melayakkan diri ke pusingan kedua selepas mudah menumbangkan lawannya dari Mesir, Doha Hany 21-10, 21-7 dalam tempoh 23 minit.