Yayasan Al-Huffaz perlukan RM2.1 juta siap masjid, kemudahan pelajar
Yayasan Al-Huffaz perlukan RM2.1 juta siap masjid, kemudahan pelajar
KUALA KETIL: Yayasan Al-Huffaz (Akademi Al-Quran Wal Qiraat dan Pondok Moden) di Persiaran Madinatul Ilmi, Kampung Charok Beras, di sini memerlukan dana kira-kira RM2.1 juta bagi menyiapkan pembinaan masjid serta beberapa projek naik taraf kemudahan pelajar dan warga emas.
Pengerusinya, Ustaz Muhammad Musa Al-Hafiz As-Sembilani, berkata projek utama membabitkan pembinaan Masjid Yayasan Al-Huffaz yang dianggarkan menelan kos keseluruhan RM2.7 juta.

Ustaz Muhammad Musa Al-Hafiz As-Sembilani-Yayasan Al-Huffaz (Akademi Al-Quran Wal Qiraat dan Pondok Moden
Menurutnya, setakat ini bahagian bawah masjid hampir siap sepenuhnya dengan perbelanjaan melebihi RM1 juta, namun yayasan masih memerlukan kira-kira RM1.6 juta bagi menyiapkan pembinaan tingkat kedua masjid berkenaan.
“Masjid ini bukan sahaja untuk kegunaan pelajar, malah akan dimanfaatkan masyarakat setempat bagi pelbagai program ibadah dan kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata, selain masjid, yayasan itu turut memerlukan peruntukan bagi menyiapkan lima unit Pondok Moden untuk warga emas yang dianggarkan menelan kos RM225,000, dengan satu unit telah siap sepenuhnya setakat ini.
Katanya, projek naik taraf lain membabitkan pembinaan kantin pelajar putera dan puteri masing-masing berjumlah RM20,000, selain pembinaan dua unit tandas masjid bernilai RM40,000.

“Bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air, yayasan juga merancang pembinaan telaga air (boring) yang memerlukan kos sekitar RM20,000,” katanya.
Mengulas program pengajian, beliau berkata Yayasan Al-Huffaz menawarkan tiga program utama iaitu Tahfiz Moden, pengajian fast track serta Pondok Moden, yang kini menempatkan kira-kira 100 pelajar dengan tenaga pengajar terdiri daripada 10 ustaz dan ustazah.

Menurutnya, lepasan Tahfiz Moden di yayasan itu turut berpeluang menyambung pengajian ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi program fast track selama 10 bulan, malah ada yang berjaya melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menyalurkan sumbangan bagi membantu pembangunan dan kebajikan pelajar Yayasan Al-Huffaz boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Islamic 552040101300 atas nama Yayasan Al-Huffaz dan boleh juga menelefon di nombor pihak Yayasan +60 19-511 4040 – SAHIH

QR Yayasan Al-Huffaz
